Oleh Arif Juhani
KUALA LUMPUR: Penjelasan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung
cincin RM24 juta dalam buku biografinya mengesahkan pendedahan KEADILAN
mengenai barang kemas mewah itu memang wujud.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa berkata, pengakuan
isteri Perdana Menteri itu bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini
yang bersumpah tidak memiliki cincin itu di tangannya, tetapi mengakui
ada melihat apabila dibawa masuk ke Malaysia untuk dipamer ‘kepada orang
yang ada duit.’
Terbaru, dalam terbitan biografi bertajuk ‘Rosmah Mansor’ yang
dilancar semalam, beliau menafikan kewujudan cincin itu dan mendakwa ia
hanya fitnah dan khabar angin semata-mata.
Rosmah sebaliknya berkata, perhiasan mewah yang dipakainya adalah hadiah dari para tetamunya.
“Sekarang jelaslah cincin itu memang wujud dan kenyataan itu
sekaligus menunjukkan Rosmah memang seorang yang gemar bermegah-megah
dengan perhiasan mewah,” kata Fariz ketika dihubungi.
Dalam buku tersebut, Rosmah juga menjelaskan, cincin dari New York
itu dibawa masuk ke Malaysia pada April 2011 untuk dilihat bakal
besannya sebelum dikembalikan kepada syarikat barangan kemas itu pada 13
Mei 2012.
Ini sama sekali bertentangan dengan jawapan bertulis Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen pada Oktober
2011.
“Dalam isu yang dibangkitkan ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia) telah merujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak
itu mengesahkan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin
tersebut.
“Setelah beberapa hari (masuk ke Malaysia), cincin tersebut
dikembalikan semula kepada syarikat pemunya cincin berkenaan,” kata
Nazri Aziz.
Mengulas lanjut, Fariz mempertikai status Rosmah yang diberi barangan
mewah sedangkan beliau hanyalah isteri Perdana Menteri dan tidak
memiliki sebarang kuasa politik.
“Apa kelebihan Rosmah sehingga dihadiahkan barangan kemas yang harganya mencecah jutaan ringgit?
“Ini satu kemusykilan yang sepatutnya disiasat badan berkuasa seperti SPRM,” kata Fariz.
Beliau berkata, penerimaan Rosmah ke atas hadiah mewah tersebut boleh dianggap sebagai pemberian rasuah.
“Rosmah patut malu menerima hadiah mewah ketika masih ramai rakyat menderita akibat kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Beliau sepatutnya buktikan keperibadian sebagai isteri pemimpin yang
berjiwa rakyat dengan hidup serba sederhana dan bukannya hanya pandai
beretorik,” kata Fariz. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan