Malam tadi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah - beralih dari Ipoh Timur, Perak.
Menurutnya, pengumuman penting itu akan dibuat oleh beliau ketika ceramah di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.
“Malam ini saya dah umumkan Lim Kit Siang akan bertanding di Gelang Patah, pada malam itu nanti, saya akan membuat pengumuman penting mengenai calon baru Pakatan Rakyat di Johor Bahru.
“Sekarang masa yang sesuai kerana kemungkinan besar pembubaran (Parlimen) akan berlaku dalam beberapa hari lagi,” katanya pada Program Ceramah Umum PR di Taman Megah Ria, di sini, semalam.
Kini, kerusi Johor Bahru disandang oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Kerusi Johor Bharu merupakan kawasan kubu kuat Umno.
Anwar turut mengulas mengenai manifesto PR termasuk pengurangan harga minyak, pemansuhan tol Lebuh Raya Utara Selatan dan pemansuhan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Anwar juga membidas kenyataan kepimpinan tertinggi Umno yang membuat ramalan negara akan berdepan muflis sekiranya mengikut manifesto tidak bertanggungjawab PR.
Menurutnya, hasil minyak dan kelapa sawit yang diperoleh lebih RM100 bilion setahun boleh menampung jumlah keseluruhan RM6 bilion PTPTN setahun.
“Hasil minyak setahun RM80 bilion.. kelapa sawit RM70 bilion... setahun hasil minyak dan kelapa sawit RM150 bilion tak kan tak boleh nak tampung PTPTN hanya RM6 bilion setahun,” katanya.
Program ceramah yang dihadiri lebih kurang 3,000 orang turut dicemari insiden tidak diingini apabila sekumpulan 50 inidividu bermotosikal didakwa cuba melakukan provokasi terhadap ceramah yang sedang berlangsung.
Bagaimanapun keadaan tidak berlarutan dan kembali terkawal apabila dihalang dan diarahkan bersurai oleh pihak polis yang bertugas di lokasi ceramah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan