Sabtu, 16 Mac 2013

Nasihat’ kepada pengundi Cina...


Oleh SELENA TAY

PADA awal Mac ini, dalam satu majlis makan yang dianjurkan oleh MCA di Batu Pahat, Johor, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah menyeru masyarakat Cina supaya jangan pertaruhkan masa depan mereka dengan memberi undi kepada pihak pembangkang.

Beliau menasihati pengundi Cina dengan menggunakan kenyataan bahawa BN telah membawa banyak kemajuan kepada negara kita dan ekonomi negara juga semakin kukuh dan bertambah baik disebabkan oleh pentadbiran kerajaan BN.

Justeru, adalah lebih baik untuk masyarakat Cina yang mementingkan ekonomi supaya keadaan ini dikekalkan dan tidak perlulah membuat perubahan secara mendadak dengan menukar kerajaan.

Memang masyarakat Cina pentingkan isu ekonomi dan kepada pengundi Cina, pemimpin BN akan menekankan isu ekonomi. Kepada pengundi Melayu, pengundi India, warga Felda, Orang Asal dan pengundi di Sabah dan Sarawak, penekanan akan diberi kepada isu yang lain pula.

Inilah cara BN memancing undi: memberi penekanan atas isu yang lain kepada masyarakat yang lain. Oleh itu, pendekatan BN amat berlainan sekali dengan pendirian pemimpin Pakatan Rakyat yang memberi kenyataan yang sama kepada semua bangsa dan golongan masyarakat di negara kita di mana setiap orang akan mendengar kenyataan yang sama daripada semua pemimpin Pakatan. Tidak pula wujud kenyataan yang berlainan kepada masyarakat yang berlainan.

Diharap para pengundi akan bijak membuat penilaian berkenaan dengan hal ini dan membuat keputusan yang sewajarnya apabila tiba tarikh mengundi nanti. Undi tidak harus diberi kepada pihak yang membahagi-bahagikan masyarakat.

Tiada ulasan: