Oleh Syahredzan Johan |
Rakyat di seluruh negara sedang menumpukan perhatian kepada Op Daulat untuk menyelesaikan konflik di beberapa tempat di timur negeri Sabah.
Insiden pencerobohan bersenjata beberapa warganegara Filipina, pengikut “Sultan Sulu”, Jamalul Kiram III, juga menimbulkan begitu banyak persoalan undang-undang, terutama berkenaan pengisytiharan darurat dan pilihan raya umum.
Soalan yang sering diutarakan — bolehkah pilihan raya umum dilangsungkan jika darurat diisytiharkan?
Jangan salah sangka; penulis berharap konflik ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin dan darurat tidak perlu diisytiharkan.
Penulis terpanggil untuk menulis tentang isu ini kerana sering melihat persoalan diajukan di media massa dan media sosial. Tujuan rencana ini adalah untuk merungkai kekusutan sekiranya ada.
Sebelum kita menjawab persoalan berkenaan dengan darurat dan pilihan raya, kita harus mengetahui terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan ‘pengisytiharan darurat’.
Sekiranya suatu darurat besar yang sedang berlaku dan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam dalam negara adalah terancam oleh kerananya, maka kerajaan boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
Darurat boleh diisytiharkan di seluruh negara, atau hanya sebahagian, contohnya darurat pada tahun 1966 hanya di Sarawak dan 1977 di Kelantan.
Wajarkah darurat diisytiharkan di seluruh Sabah? Pada ketika ini, penulis merasakan ia tidak wajar kerana menurut laporan hanya beberapa kawasan di Sabah terjejas akibat pencerobohan pengikut Kiram III.
Namun juka situasi berubah jadi lebih teruk dan darurat diisytihar, bolehkah pilihan raya diadakan?
Sebenarnya, pilihan raya umum masih boleh berlangsung walaupun dalam keadaan darurat.
Jangan lupa bahawa sehingga akhir tahun 2011, negara kita sebenarnya masih berada dalam keadaan darurat akibat 3 pengisytiharan darurat sebelum ini.
Tetapi dari tahun 1964 sehingga 2011, pilihan raya umum masih tetap berlangsung seperti biasa dan Parlimen masih bersidang seperti biasa, kecuali selepas rusuhan kaum tahun 1969 dan terbentuknya Majlis Gerakan Negara (Mageran).
Jadi, darurat tidak bermakna pilihan raya tidak boleh berlangsung. Darurat juga tidak bermaksud Parlimen tidak boleh bersidang dan Mageran akan dibentuk, kerana dalam sejarah Parlimen digantung dan Mageran dibentuk hanya sekali, walaupun darurat berterusan sejak tahun 1964.
Namun, jika kerajaan berpendapat keadaan keselamatan tidak membenarkan pilihan raya dilangsungkan, sudah tentu ia boleh ditunda sehingga keadaan membenarkannya.
Parlimen sedia ada mula bersidang pada 28 April 2008 dan mengikut Perlembagaan, sekiranya ia tidak dibubarkan lebih awal, ia akan terbubar secara semula jadi pada 28 April 2013.
Juga menurut Perlembagaan, selepas Parlimen dibubarkan, pilihan raya umum harus dijalankan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Mengikut kira-kira penganalisis politik dan pakar undang-undang, tarikh akhir untuk mengadakan pilihan raya umum ialah pada 28 Jun 2013.
Bagaimana pula jika keadaan darurat di kawasan berkenaan berterusan sehingga selepas 28 Jun 2013 dan kerajaan masih berpendapat tidak selamat untuk menjalankan pilihan raya? Pada pendapat penulis, pilihan raya boleh ditunda bagi kawasan-kawasan yang tidak selamat sahaja.
Di tempat-tempat lain, pilihan raya umum wajar diadakan sebelum atau pada 28 Jun 2013 dan tidak boleh ditunda melangkaui tarikh tersebut.
Darurat memberikan kuasa yang luas kepada kerajaan dalam menggubal undang-undang dan mengambil tindakan yang mungkin tidak konsisten dengan Perlembagaan.
Darurat juga, seperti kita lihat, membolehkan kerajaan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Suatu pengisytiharan darurat tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya, kerana membawa kesan amat besar kepada negara.
Oleh itu, pada pendapat penulis, kerajaan sewajarnya berunding dengan Parlimen terlebih dahulu sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat, walaupun tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan. — sinarharian.com.my
* Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan