Isnin, 11 Mac 2013

Macai Pro-Umno serang pejabat PKR

Harakahdaily,


Pekerja am pejabat PKR memerhatikan telor dan batu bertaburan manakala papan tanda PKR pecah diserang hari ini

PETALING JAYA: Telor, kayu, batu dan kon plastik berterbangan ke arah bangunan ibu pejabat PKR petang ini, dipercayai dibuat oleh macai pro-Umno.

Ekoran itu, beberapa bahagian bangunan itu pecah dan telor bertaburan di depan pintu masuk pejabat PKR itu.

Serangan ini dipercayai untuk mengukuhkan dakwaan kononnya Tian Chua menghina pasukan keselamatan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pembelot negara ekoran tragedi Lahad Datu.

Setiausaha Kerja Wanita PKR Pusat, Maisuri Zainal, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu sekumpulan 40 orang berbaju merah berhimpun di hadapan pejabat parti itu, di Tropicana.

Difahamkan, kumpulan tersebut diketuai Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah.

"Kumpulan itu mula berhimpun dengan beberapa sepanduk yang dibawa oleh sekumpulan mat motor yang mengatakan 'Anwar pengkhianat' dan mengecam Tian Chua.

"Ia berkaitan krisis Lahad Datu, kononnya. Selepas itu, mereka mula membaling telur dan memecahkan papan tanda pejabat kami," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan kerana tiada sebarang tindakan dilakukan pihak polis yang turut berada di situ, biarpun sedar insiden tersebut.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di balai polis berhampiran .

JMM, sebuah NGO yang menyokong Umno sebelum ini juga yang bertindak menghantar kek najis kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Tiada ulasan: