Isnin, 11 Mac 2013

PAS akan bertanding di Sg Acheh

Mohd Sabri Said,


PULAU PINANG: Ekoran keputusan untuk  bertanding di DUN Sg Aceh,  PAS kawasan Nibung Tebal disaran melipat gandakan aktiviti untuk memastikan Dun itu dapat ditawan daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dengan itu juga, ia dapat membantu jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kekal di Sungai Bakap dan merampas Dun Jawi.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar) memberitahu, pada pilihanraya umum ke 12 lalu PAS tidak bertanding ketiga-tiga Dun di Parlimen Nibung Tebal sebaliknya memberikan laluan kepada PKR untuk menguburkan UMNO dan BN.

"Saya tahu jentera kita telah lama digerakan malahan sehingga tahap maksima. Oleh itu, lipat gandakan lagi supaya Pakatan Rakyat capai kemenangan yang mutlak, " ujarnya.

Beliau yakin PAS dapat bergerak bersama PKR dan DAP kerana tanpa kerjasama yang erat apa kerja pun tidak akan menjadi.

Beliau difahamkan PAS Nibung Tebal berjaya menambah beberapa cawangan baru sejak kebelakangan ini termasuk cawangan di kubu kuat Umno.

Maka, dengan ini satu lonjakan telah berlaku di mana masyarakat telah lama menunggu masa untuk mengubah pentadbiran yang diamggap longgar dan terlalu banyak penyelewengan.

"Inilah masa yang paling sesuai untuk rakyat mengubah segala-galanya terutamanya memastikan kita ke Putrajaya, " terangnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir.

Tiada ulasan: