Khamis, 14 Mac 2013

ISA: 3,000 kad ucapan diserah kepada KDN

Salmiyah Harun,


PUTRAJAYA: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi mengembalikan keadilan kepada tahanan ISA dan memberi pampasan yang setimpal dengan penganiayaan yang telah dialami oleh tahanan dan keluarga tahanan.

Menurut Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, kerajaan juga didesak mendedahkan secara terperinci proses pemulihan yang dilalui oleh tahanan semasa di kem, di samping mendedahkan laporan keselamatan yang dijadikan penilaian untuk menentukan sama ada tahanan boleh dibebaskan atau tidak.

"Kemta mestilah ditutup dan diiktiraf sebagai Warisan Negara atau Muzium seperti Pulau Robben, Afrika Selatan sebagai simbol ketidakadilan dan kezaliman ISA. Perkara ini perlu sebagai amaran kepada mana-mana dan juga pemerintah negara agar tidak menggunapakai akta zalim seperti ISA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan 3,000 kad ucapan yang berjaya dikumpul daripada orang ramai kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, di pejabatnya di sini hari ini.

Seiring dengan penyerahan kad ucapan itu, GMI turut menggesa kerajaan segera membebaskan 22 tahanan ISA yang masih ditahan di Kem Tahanan Kemunting Perak.

Syed juga berkata, menteri berkenaan gagal memberi jawapan apabila rakyat mempersoalkan siapakah yang menentukan tahanan memberi ancaman kepada negara sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan bersalah di mahkamah.

Bukan itu sahaja, katanya menteri terbabit juga gagal menjawab apabila pihak GMI bertanyakan mengenai kayu ukur yang digunakan pihak kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menentukan sama ada seorang tahanan itu sudah pulih atau tidak.

"Masih belum ada alasan yang kukuh daripada pihak Menteri Dalam Negeri untuk menjawab persoalan mengapa baki tahanan ISA masih tidak dibebaskan. Menteri masih mengulangi alasan yang sama iaitu tahanan hanya dibebaskan apabila didapati tidak lagi memberi ancaman kepada negara," katanya.

Namun, sehingga hari ini 22 orang masih ditahan di Kem Tahanan Kemunting, antara yang masih ditahan ialah lapan orang warga tempatan dua orang warga Indonesia, lima orang warga Sri lanka, dan masing-masing seorang dari Pakistan, India, Bangladesh, Iraq dan Filipina.

Sementara itu, kad ucapan yang diserahkan kepada KDN hari ini mengandungi luahan rakyat terhadap kezaliman penahanan di bawah ISA.

GMI berharap dengan penyerahan kad itu, menteri berkenaan dapat menilai sendiri tuntutan rakyat yang mahukan tahanan ISA diberikan keadilan yang sewajarnya.

"Orang awam yang ditemui melahirkan rasa terkejut apabila mengetahui masih terdapat tahanan ISA dikurung di kemunting sedangkan mereka diwar-warkan episod kezaliman ISA sudah berakhir sebaik Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA pada September 2011," jelas Syed.

Kempen Kad Ucapan untuk tahanan ISA dilancarkan pada 19 Julai 2012 dan berakhir pada Januari 2013, kempen ini memberi ruang kepada masyarakat awam menyatakan sokongan kepada tahanan ISA dengan menyampaikan mesej terus kepada Menteri Dalam Negeri.

Kempen ini dijalankan sebagai satu bentuk desakan kepada kerajaan agar segera membebaskan kesemua baki tahanan  ISA.

Tiada ulasan: