Oleh: Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR : Rakyat diseru memberi peluang kepada Pakatan
Rakyat membuktikan manifesto dengan memilih gabungan parti itu dalam
pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr
Muhammad Nur Manuty.
Katanya, manifesto yang mengandungi pelbagai tawaran kepada rakyat
itu tidak akan terlaksana sekiranya Pakatan tidak diberi mandat
mentadbir negara.
“Manifesto yang diisytihar ini memang dicemburui oleh BN kerana
gagasannya yang bersifat komprehensif dan mensejahterakan rakyat.
“Ia merangkumi usaha membanteras kemiskinan, membela golongan lemah
termasuk golongan kurang upaya dan memberi pendidikan percuma kepada
generasi muda,” katanya.
“Jika tidak diberi peluang kepada Pakatan, kemungkinan tawaran ini tidak dapat dilaksanakan,” ujarnya ketika dihubungi.
Justeru, Muhammad Nur menyeru orang ramai agar meneliti kandungan
manifesto berkenaan yang dilancarkan pada Konvensyen Pakatan Rakyat, 25
Februari lalu.
Ujarnya, keupayaan Pakatan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan
negara dapat dibuktikan berdasarkan urustadbir berhemah di negeri-negeri
yang dimenanginya pada PRU lalu.
“Janji yang dibuat oleh Pakatan telah ditepati dan ini dibuktikan
menerusi pengurusan kewangan yang cekap oleh kerajaan di Selangor, Pulau
Pinang, Kelantan dan Kedah,” tambahnya.
Antara lain, manifesto bertemakan Harapan Rakyat itu berjanji
mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan baru dan menetapkan gaji minima
sebanyak RM1,100.
Pakatan juga berikrar meringankan kos sara hidup dengan menurunkan
harga barang, harga petrol dan diesel, caj elektrik dan air, dan
menghapuskan tol secara berperingkat.
Dokumen itu turut menyatakan komitmen Pakatan menyediakan 150,000
rumah mampu milik, selain merombak dasar automotif negara dengan
menghapuskan cukai eksais, dan memperkenalkan harga kereta serendah
RM25,000.
Bagi golongan pelajar, manifesto Pakatan menawarkan pendidikan
percuma dan menghapus PTPTN dengan yuran pengajian di institusi milik
awam ditanggung kerajaan. Ia merupakan sebahagian daripada pelbagai lagi
faedah yang ditawarkan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Dr Manuty turut menyentuh pengumuman kerajaan
menaikkan gred gaji baru anggota polis, tentera dan kakitangan awam yang
disifatkan meniru manifesto Pakatan dan Buku Jingga.
“Itu pun merupakan satu lagi dasar yang ditiru daripada manifesto dan Buku Jingga yang ditawarkan Pakatan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan