Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata dengan segala bahan kempen yang telah dipersiapkan beliau yakin anggota penerangan BN di seluruh negara bukan sahaja mampu menjelaskan dasar kerajaan malah juga membongkar segala kelemahan pembangkang.
"Kita telah mempersiapkan jentera BN melalui kaedah Terang dan Serang iaitu menjelaskan apa yang telah kerajaan BN laksana dan tunai kepada rakyat selain mendedahkan apa yang tidak elok dibuat pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas membuat taklimat penceramah penerangan BN di sini hari ini.
Ketua Penerangan UMNO itu berkata BN akan menggunakan empat media utama dalam menghadapi PRU-13 iaitu melalui media bersemuka, media cetak, media digital dan media elektronik.
Menurutnya pasukan Cyber Troopers BN juga telah lama melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menangkis segala isu dibangkitkan pembangkang dan menjelang PRU-13 ini pihaknya yakin lebih banyak pendedahan berhubung kelemahan pembangkang dibuat kepada umum.
Sementara itu, katanya BN yakin akan tetap mempertahankan Putrajaya pada PRU-13 dengan menang sekurang-kurangnya 160 kerusi parlimen.
Katanya BN juga yakin mampu menang semua lapan kerusi Parlimen selain menang lebih daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu. "Kita bercakap secara realistik kerana sebelum ini kita pernah menang (di Marang) dan hanya tewas empat kerusi DUN di Terengganu," katanya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan