Sejak 16 Januari lalu, polis menggunakan pelbagai usaha cuba mengesan William Yau, antaranya mengedar poster dan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan bukit serta belukar, berhampiran lokasinya dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Seksyen 7, Putra Heights.
Bagaimanapun, kelmarin, mayat kanak-kanak itu ditemui terapung di dalam sungai iaitu sejauh 30 kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.
Mayat William Yau ditemui dalam keadaan separuh reput dan kembung.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Tiada kecederaan luar di tubuh mayat melainkan bekas gigitan binatang yang menjamah mayat ketika berada di dalam air,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, semalam.
Yahaya berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana mayat kanak-kanak terbabit berada di dalam sungai.
“Tiada parit monsoon besar di lokasi William dilaporkan hilang, kalau ada pun sungai terletak tiga kilometer dari Putra Heights.
“Pegawai perubatan juga tidak dapat menentukan punca kematian kerana mayat sudah mereput dan percaya meninggal sejak seminggu lalu,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, belum ada suspek atau maklumat jelas yang dapat mengaitkan kematian William Yau.
Difahamkan, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang ugutan atau tuntutan wang ugutan untuk dikaitkan dengan kes penculikan.
Setakat ini, hanya lima individu menyalurkan maklumat, namun ianya tidak mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan William Yau.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, mayat itu disahkan oleh ibu bapa William Yau yang hadir menjalani proses pengecaman mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, semalam.
Katanya, pengesahan itu berdasarkan seluar pendek, seluar dalam, parut di dahi dan di belakang kepala mayat yang mirip William Yau.
Beliau berkata, bagaimanapun keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan diperolehi selewat-lewatnya tiga hari untuk mengesahkan status sebenar mayat kanak-kanak tersebut.
“Kita yakin 75 peratus mayat itu adalah kanak-kanak yang hilang. Sampel tulang dan rambut sudah dihantar ke Jabatan Kimia. Apa pun kita tunggu laporan DNA sama ada wujud pertalian antara mayat dengan William Yau.
“Jika benar mangsa, kita akan hentikan pencarian dan tumpukan kepada sebab-sebab kematian,” katanya.
Yahaya berkata, abang William Yau yang berusia tujuh tahun akan dipanggil untuk diambil keterangan semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan