[PENDAPAT]
Merujuk kepada cadangan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar daftar pemilih disediakan
setiap tiga tahun sekali apabila pilihan raya umum baru menjelang
tiba, jika benar dapat dilaksanakan, Pas juga ingin mencadangkan agar
pecahan pengundi sesuatu kawasan tidak lagi mengikut komposisi kaum
semata-mata.
Pecahan
pengundi mengikut kaum semata-mata selama lima dekad telah
mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada perpaduan
kaum kerana seluruh rakyat Malaysia, kerajaan dan terutamanya ahli-ahli
politik akan berbicara segala permasalahan negara daripada sudut kaum
semata-mata seperti yang sedang berlaku pada waktu kini.
Pecahan
pengundi mengikut kaum dibuat SPR selama ini juga dipercayai dibuat
mengikut selera dan pecahan parti komponen BN, yang semuanya terdiri
daripada parti berdasarkan kaum untuk memudahkan setiap parti komponen
untuk menjaga undi kaum masing-masing.
Sudah tiba
masanya, perkara ini dirombak dengan SPR mengeluarkan pecahan pengundi
mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan
kepada media dan rakyat. Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu
dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan.
Jika pecahan pengundi dilakukan mengikut usia sebagai contoh:
21-34 tahun: 35 peratus
35-50 tahun: 40 peratus
50-60 tahun: 15 peratus
60 tahun ke atas: 10 peratus
Berdasarkan
data-data sedemikian, parti-parti dan ahli-ahli politik akan berbicara
mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik
isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum.
Ini boleh
mengurangkan risiko berlakunya keadaan masa kini di mana ada
pihak-pihak yang sengaja menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk
meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi mendapat modal politik murahan.
Pecahan undi mengikut perspektif jantina juga boleh mengurangkan
risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan agama untuk merai
undi.
Sambil SPR
membersihkan daftar pengundi, pecahan pengundi baru mengikut usia
boleh dilaksanakan kerana ia tidak susah kerana segala maklumat sudah
ada pada kad pengenalan pengundi.
Cukuplah
rakyat dan negara ini ‘dipakaikan’ cermin mata berdasarkan pecahan kaum
– Malaysia boleh bergerak ke arah lebih makmur dan berpadu sekiranya
kita memakai kacamata yang lebih menjurus ke arah perpaduan.
Pada skala
yang lebih besar, Pas juga mencadangkan agar sistem pilihan raya
dirombak untuk memastikan pembangkang sentiasa wujud dan efektif untuk
manfaat rakyat.
Kerajaan
harus menyediakan satu dana bagi parti-parti politik yang bertanding.
Kaedah ini diguna dibeberapa buah negara bagi mengelak parti tersebut
mendapat dana dari pelbagai pihak dalaman dan luaran, sehingga
menyebabkan parti akan ‘terhutang budi’ dengan penyumbang tersebut.
Peruntukan kewangan boleh ditentu berdasarkan undi popular yang diterima
semasa pilihan raya umum. Harus diingat persaingan politik menyebabkan
rakyat akan lebih mendapat perhatian daripada parti pemerintah, dan
komentar lebih baik dari parti pembangkang.
Selain
itu, Pas juga mencadangkan agar sistem pilihan raya dirombak mengikut
peratusan undi yang diperolehi oleh setiap parti. Jumlah peratusan undi
akan mewakili parti tersebut di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan
Negeri (Dun). Kaedah ini ternyata lebih adil bagi parti yang
bertanding, di mana jumlah kerusi Parlimen dan Dun adalah berdasarkan
peratus undi popular yang diterima keseluruhannya. Ini mengelakkan
manipulasi persempadanan semula yang memboleh parti pemerintah terus
memerintah walaupun tewas undi popular di seluruh negara kerana
kerusi-kerusi strategik dengan jumlah pengundi yang rendah dimenangi
dengan banyak.
Diharap cadangan-cadangan di atas diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak SPR demi lebih memakmurkan demokrasi negara.
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan