Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR: Pengacara, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman atau nama sebenar, Muhammad Hakim Lokman berkata, pelancaran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya untuk tarik sokongan golongan itu kepada BN.
Katanya, Umno terbukti semakin parah kerana sanggup menjanjikan habuan demi kepentingan politik.
“Ini janji tak ikhlas, kenapa baru sekarang nak bagi (perhatian) kepada artis. Adakah kerana tiada penyokong, baru nak gunakan artis.
“Ini semua tindakan terdesak mereka. Selama ini siapa yang pandang artis, kami hanya digelar sebagai penghibur, tiada kepentingan,” tempelaknya.
Najib melancarkan YA1M itu semalam sebagai langkah menarik sokongan golongan seni yang semakin peka dengan isu politik kepada BN.
Dalam ucapannya, beliau berjanji kepada golongan seni menyokong kerajaan akan mendapat bantuan lebih banyak kelak jika BN meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
Najib turut mengumumkan sumbangan RM2 juta kepada YA1M pada tahun ini dan RM3 juta pada tahun depan di samping akan menimbang untuk menyediakan skim perlindungan insurans kepada golongan seni.
“Kalau dah buat macam-macam, takkan artis tak boleh fikir, mesti ada muslihat di sebalik janji-janjinya.
Kalau mereka (artis) waras, mereka tak akan sokong perkara ini. Kalau tak boleh baca lagi (muslihat Najib), maknanya mereka tak normal.
“Tapi kalau mereka tidak bermaruah, orang itu pastinya mudah ditipu,” tegasnya ketika dihubungi.
Antara artis yang telah menyertai parti politik ialah penyanyi dan pelakon kontroversi Abby Abadi yang mengumumkan penyertaan ke dalam PAS. Selain Bob Lokman, terdapat beberapa artis lain yang menyertai Pakatan Rakyat antaranya pelakon Hairie Othman, penyanyi Dayangku Intan, Noryn Aziz dan Yatt Hamzah.
Sementara itu, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau Dayangku Intan menyifatkan tindakan terdesak Najib itu kerana sedar beliau akan kalah dalam PRU 13 sehingga terpaksa bergantung kepada artis.
“Ini semua kerana mereka takut kalah PRU 13, baru mereka tahu bagaimana artis boleh mempengaruhi rakyat dengan hasil seni mereka.
“Kalau mahu bercakap mengenai royalti, perlindungan kepada artis, ini bukan perkara baru. Sudah bertahun kita perjuangkan.
Kenapa baru sekarang mahu jaga artis,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Semakin Rindu Semakin Sayang.
Kata artis veteran itu lagi, Umno sebenarnya ketandusan idea kerana terpaksa meniru apa yang dibuat Pakatan Rakyat.
“Kalau mahu tarik sokongan artis, Umno sebenarnya sudah terlambat kerana Pakatan lebih dahulu memahami artis.
“Semuanya ditiru, dari (jelajah) bas, sehinggalah beri peluang kepada artis ke pentas ceramah (Umno). Sudut ini pun kita boleh tengok Pakatan lebih dekat dengan artis,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan