Isnin, 26 November 2012

Pegawai bank sahkan anak Taib belanja RM880,958.91 dalam tempoh enam bulan


KUALA LUMPUR — Pegawai bank mengesahkan anak kepada Ketua Menteri (KM) Sarawak, membelanjakan wang sebanyak RM880,958.91 dalam tempoh enam bulan semasa perbicaraan kes tuntutan bekas menantu Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

“Ya, saya mengesahkan semua maklumat dalam penyata akaun kad kredit platinum American Express ini adalah milik Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib,” kata Musinah Manap, pengurus bahagian khidmat pelanggan Maybank hari ini.

Bukti penyata bank dikemukakan oleh peguam plaintif menunjukkan perbelanjaan yang digunakan oleh Mahmud Abu Bekir daripada Januari hingga Jun tahun ini berjumlah RM880,958.91.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membuat keputusan mengejut apabila membenarkan saksi pegawai bank memberikan keterangan dalam perbicaraan kes tuntutan bekas menantu KM Sarawak  hari ini.

Dalam laporan The Malaysian Insider pagi tadi, Hakim Syarie Datuk Muhammad Abdullah menolak permohonan peguam Shahnaz Abdul Majid untuk mengemukakan saksi pegawai bank kerana tidak memberikan notis awal.

“Saksi pegawai bank boleh beri keterangan kerana plaintif sudah memberikan persetujuan membenarkan saksi untuk disoal balas seperti yang dituntut oleh pihak defendan,” kata Hakim semasa perbicaraan bersambung selepas berhenti untuk makan tengah hari.

Dalam penyata bank itu, Mahmud Abu Bekir telah menggunakan kad American Express sebanyak RM166,332.37 pada Januari; RM247,201.91 pada Februari; RM102,236.85 pada Mac; RM172,193.23 pada April; RM39,454.70 pada Mei; dan RM153,539.85 pada Jun, menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM880,958.91.

Selepas keterangan saksi pertama tersebut, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili pihak defendan memohon kepada Hakim untuk menangguhkan perbicaraan pada hari ini supaya memberinya peluang menyediakan soal balas.

“Saya pohon kepada yang arif untuk menangguhkan perbicaraan hari untuk saya menyoal balas kemudiaannya,” kata Zainul Rijal.

Muhammad Abdullah menerima permohonan peguam defendan untuk menangguhkan perbicaraan dan menetapkan tarikh baru pada 24 Disember untuk menyambung perbicaraan semula.

Peguam plaintif, Mohd Rafie Mohd Shafie kemudiaannya memberitahu mahkamah bahawa terdapat dua orang lagi saksi daripada bank serta memohon Hakim untuk menetapkan satu lagi tarikh dalam tempoh sebulan memandangkan pihaknya akan mengemukakan sepina ke atas seorang ketua pegawai eksekutif Swiss Bank yang tidak dinamakannya.

Perbicaraan hari ini merupakan tuntutan RM100 juta untuk mutaah oleh Shahnaz berikutan perceraiannya dengan Mahmud Abu Bekir dan RM300 juta tuntutan bagi harta sepencarian.

Shahnaz dalam perbicaraan sebelum ini berkata jumlah RM400 juta yang dituntutnya itu adalah masuk akal memandangkan mereka telah berkahwin selama lebih 19 tahun dan suaminya memiliki pendapatan bernilai berbilion ringgit.

Dalam permohonan cerai yang difailkannya sebelum ini, Shahnaz, yang mempunyai MBA dalam Kewangan berkata, dia mahu bercerai di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1948 kerana Mahmud Abu Bekir tidak memberinya nafkah batin sejak 2001.

Kakak kepada ratu jazz Malaysia itu turut berkata, bekas suaminya itu juga pernah menumbuk mukanya, kepala, mata, disepak di rusuk dan dicekik, disamping penggunaan kata-kata kesat yang menyebabkan emosinya terganggu.

Perbicaraan hari ini ditangguhkan sehingga 24 Disember depan, jam 10 pagi.

Tiada ulasan: