Salmah Mat Husain, |
KOTA BHARU: Setelah tinggal di kawasan rancangan kemajuan tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sejak 1980-an, akhirnya impian peneroka mendapat geran hak milik tanah menjadi kenyataan.
Seramai 86 peneroka Kesedar Lebir Gua Musang dilulus surat hak milik tanah pada mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, mesyuarat Exco juga turut meluluskan bagi mengazet Akta Tanah di bawah Seksyen 5 di bawah Akta Penempatan Beramai-Ramai (GSA 1960).
“Ia bertujuan memberikan hak milik kepada peneroka-peneroka di Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 membabitkan kawasan seluas 1,291.06 hektar.
“Dengan menggazetkan akta tanah tersebut, peluang untuk memberikan hak milik kepada mereka yang terlibat di Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 dapat dilaksanakan,” ujarnya selepas mesyuarat Exco.
Pada pertengahan tahun ini kerajaan negeri juga menyampaikan geran lot rumah dan kebun kepada peneroka serta penduduk bukan Islam yang tinggal di Gua Musang pada satu majlis yang diadakan di Dewan Sivik.
Sebelum itu pemimpin Umno menghasut dan cuba menghalang peneroka mengisi borang dan membayar premium tanah pada kadar yang minimum bagi membolehkan mereka mendapat geran hak milik tanah.
Dan sekarang peneroka bakal mendapat geran tersebut seperti dijanjikan kerajaan negeri tanpa termakan hasutan pemimpin Umno.
Husam berkata, geran-geran tersebut akan diberikan kepada peneroka dalam masa terdekat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan