Selasa, 27 November 2012

Perhimpunan Agung Umno

KL TODAY

 

KUALA LUMPUR: Kira-kira 8,000 epal akan disaji kepada petugas media yang membuat liputan sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ketua Pegawai Eksekutif Putrade Property Management Sdn Bhd Datuk Maxson Abdullah Jaafar berkata epal merah dan hijau itu akan disediakan semasa minum pagi dan minum petang sebagai satu kelainan berbanding penganjuran perhimpunan agung sebelum ini.

Menurutnya, ia juga sebagai satu langkah ke arah menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan petugas media di sebalik kesibukan membuat liputan.

“Kita ambil pendekatan ‘an apple a day keeps the doctor away’. Tapi buah-buahan lain pun ada,” katanya kepada Bernama.

Mengenai makanan yang akan disaji kepada para perwakilan, tetamu kenamaan dan petugas media sepanjang lima hari persidangan mulai esok, Maxson Abdullah berkata ia masih mengekalkan menu seperti tahun lepas kerana merasakan ia adalah hidangan terbaik.

“Antara makanan yang akan disajikan ialah gulai tempoyak ikan patin, ayam kampung, putu piring, apam balik serta ais krim sarang burung,” katanya.

Beliau berkata persiapan untuk perhimpunan itu bermula sejak Mei lepas, melibatkan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dalam pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menjanjikan kebersihan tandas yang terjamin bagi memastikan keselesaan orang ramai.

Maxson Abdullah berkata surau yang terletak di Aras 3 juga ditambah dengan pelbagai ciri pembaharuan termasuk permaidani baharu dan tempat mengambil wuduk lebih selesa.

Jumlah gerai jualan yang disediakan di Dewan Tun Razak, Aras 3, PWTC, sempena perhimpunan agung kali ini kekal 219 seperti tahun lepas.

“Kami tak bercadang untuk buka di bawah atau luar PWTC seperti tahun-tahun sebelum ini kerana di atas (Aras 3) lebih selesa,” katanya.

Untuk memastikan kelancaran perhimpunan agung itu, pihak pengurusan PWTC mengambil 600 pekerja sementara selain 320 pekerja tetap untuk ditempatkan di di dapur dan bahagian-bahagian lain.

Tiada ulasan: