Selasa, 27 November 2012

Berakhirnya era BN – Bahagian kedua

 Oleh Liew Chin Tong



Masalah tekanan ekonomi akibat korupsi dan salah urus menyebabkan rakyat terpaksa menanggung derita.
Kroni-kroni Barisan Nasional tidak menghadapi masalah yang terpaksa ditanggung oleh rakyat – bayar bil-bil bulanan, perbelanjaan dapur dan keluarga, kos anak-anak sekolah, kos mahasiswa university, kos bayaran balik pinjaman PTPTN serta pinjaman pendidikan dari bank-bank dan sebagainya.

Pimpinan BN masih leka dan lalai dalam dunia impian mereka. Oleh itu, rakyat harus mengambil peluang ini untuk mengembalikan kedaulatan demokrasi. Hanya usaha ini dapat mengembalikan maruah dan harga diri rakyat yang selama ini telah dipermainkan oleh kerajaan BN.

Dengan kata lain, pengundi harus memilih pengurus negara yang lebih prihatin kepada kehendak rakyat dan bukan yang sayang kepada kroni dan sanak-saudara mereka sahaja. Pengundi harus mempermartabatkan sebuah kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Pakatan Rakyat akan menjadikan kita bangga sebagai rakyat Malaysia, dan bukan lagi sekadar insan tak berdaya yang hanya mengharapkan habuan dan cebisan kroni kerajaan.

Antara usaha yang akan dilakukan sebaik sahaja dipilih sebagai kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang ialah:

* Pakatan akan hapuskan gejala rasuah, kurangkan pembaziran

Segala amalan salah guna kuasa dan salah urus yang turut meningkatkan jumlah hutang negara akan dibersihkan melalui amalan pentadbiran yang mengutamakan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan. Ini bukan hanya cakap kosong sahaja kerana ia telah dan sedang diamalkan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat sejak 2008.

* Pakatan tidak akan kenakan cukai terhadap rakyat berpendapatan rendah dan sederhana

Sebagaimana yang kita tahu, BN yang semakin menghadapi masalah kewangan (kerana banyak membazir dan terlalu pentingkan kroni) akan melaksanakan cukai-cukai baru bagi membiayai belanjawan yang besar defisit.

Contohnya BN yang terdesak telah melaksanakan sistem saman AES yang diswastakan di seluruh negara yang diberi kepada kroni sedangkan mangsa kamera trafik ini adalah rakyat jelata, iaitu kita semua. BN juga akan mengelurkan lebih banyak lesen judi “Special Draw”, menaikkan cukai rokok dan arak (untuk digunakan sebagai perbelanjaan kerajaan tetapi pada masa yang sama BN, khususnya UMNO, mempergunakan agama sebagai alat politik) dan cukai yang paling berat, iaitu Cukai Barangan dan Perhidmatan (GST), yang perlu dibayar oleh setipa rakyat Malaysia termasuk penganggur, kanak-kanak dan orang miskin.

* Pakatan tidak akan gunakan wang amanah rakyat untuk kepentingan peribadi

BN telah dan akan terus melakukan amalan tak bermaruah, iaitu akan menggunakan Petronas dan KWSP sebagai mesin ATM peribadi mereka. KWSP khususnya telah pun dan akan terus dijadikan oleh BN seumpama kad kredit tanpa batasan kredit. Lebih ngeri lagi, hutang itu mungkin terpaksa dilangsaikan oleh pencarum KWSP nanti. Sedangkan caruman KWSP adalah untuk masa depan pekerja selepas bersara. Relakah kita biarkan pemerintah mencuri wang simpanan kita?

* Pakatan komited kepada pentadbiran telus dan terbuka

Banyak skandal yang melibatkan wang rakyat serta membabitkan orang-orang yang rapat dengan pemimpin-pemimpin BN telah berjaya didedahkan oleh Pakatan Rakyat walaupun media kawalan BN cuba menutup kes-kes jenayah kewangan itu. Contohnya, skandal PKFZ dan NFC yang memalukan negara kerana perbuatan pecah amanah pimpinan BN. Pengundi-pengundi berhak dan wajib bertanya, contohnya dalam kes NFC, kenapa pinjaman wang daripada kerajaan bernilai RM250 juta untuk ternak lembu boleh digunakan untuk membeli kondominium mewah?

* Pakatan uruskan wang rakyat secara ikhlas dan berhemah

Pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor dan Pulau Pinang, kedua-dua dewan telah membentangkan belanjawan 2013 masing-masing sebanyak RM1.6 bilion dan RM1.1 bilion. masing-masing. Pada masa yang sama, Parlimen telah membentangkan pembelanjaan sebanyak RM252 bilion. Ini bererti 93 kali ganda jumlah perbelanjaan negeri Pulau Pinang dan Selangor!

Tetapi sejak 2008, kerajan persekutuan terkenal dengan pembaziran dan skandal kewangan sedangkan pencapaian Selangor dan Pulau Pinang amat hebat sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara. Malah semua negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat diberi pujian baik.

* Pakatan akan kembalikan maruah Malaysia di mata dunia

Pada tahun 1960-an, Korea Selatan adalah sebuah negara yang mundur dan miskin. Malah lebih miskin daripada Malaysia. Hari ini, Korea Selatan mempunyai syarikat-syarikat gergasi yang mendapat tempat dalam senarai Fortune 500. Contohnya, Samsung, Hyundai dan LG.

Filipina pada tahun 1960-an adalah lebih kaya dan makmur daripada Korea Selatan. Tetapi, selepas kemunculan diktator Fidel Marcos dan isterinya Imelda yang gilakan kemewahan termasuk membeli beribu-ribu pasang kasut mahal telah menyebabkan negara itu ditekan masalah ekonomi. Akibatnya, ramai rakyat Filipina terpaksa bekerja sebagai buruh murahan dan pembantu rumah di seluruh dunia. Lebih sedih lagi, golongan professional Filipina turut terpaksa bekerja sebagai buruh murahan kerana gaji di negara mereka sendiri amat rendah berbanding gaji buruh murahan di negara lain.

Malaysia mungkin menjadi seperti Filipina jika ekonomi berteraskan kepentingan kroni diutamakan oleh BN. Hanya Pakatan dapat menghentikan trend terjunamnya Malaysia ke kancah krisis ekonomi yang dihasilkan oleh salah urus BN.
Jaminan Pakatan

Sehubungan dengan itu, saya berani memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat akan:

1. Meningkatkan pendapatan rakyat untuk berkongsi kemakmuran negara dan bukan memperkayakan kroni.

2. Melaksanakan gaji minimum dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing tidak mahir.

3. Menanbah pendapatan boleh-guna, iaitu lebih banyak wang masuk ke dalam kocek keluarga untuk dibelanjakan seharian, dan bukan masuk ke dalam kocek kroni.

4. Membubarkan kutipan tol di Lebuh-Raya Utara Selatan dan wang yang dijimatkan akan digunakan untuk membeli semula syarikat-syarikat tol seperti PLUS, LITRAK dan SILK supaya ia menjadi hak milik rakyat-kerajaan dan bukan lagi hak milik kronik.

5. Menghalang pertumbuhan monopoli, dan menggalakkan persaingan sihat antara usahawan  supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang terbaik pada harga yang paling rendah. Kerajaan pula akan mengawasi supaya pekerja tidak ditindas, pengguna tidak ditipu dan usahawan mendapat keuntungan wajar tanpa perlu rasuah atau korupsi.

Saya sebagai seorang pembayar cukai amat mengambil berat bagaimana cukai saya digunakan oleh kerajaan. Saya selaku pengundi yang berdaftar mahu lebih lantang bersuara mengenai bagaimana negara ini harus diurus dengan lebih baik.

Setiap rakyat perlu sedar tentang apa yang kerajaan lakukan. Jika tidak, kita akan dipermainkan oleh para pemimpin politik yang bersekongkol dengan kroni-kroni mereka. – Roketkini.com

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP). Rencana ini ditulis dengan kerjasama dan bantuan Soh Boon Hong.

Tiada ulasan: