Selasa, 27 November 2012

Pemimpin Umno kecam Singapura benarkan taklimat peguam Scorpene


KUALA LUMPUR- Singapura telah campur tangan urusan Malaysia selepas membenarkan peguam Perancis memberi taklimat isu kes mahkamah Scorpene kepada ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat di sana, kata pemimpin Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini.

Isu kontroversi itu kembali dibangkitkan semula yang didakwa oleh Barisan Nasional (BN) sebagai modal pembangkang untuk mewujudkan sentimen anti-kerajaan menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

Awal hari ini, peguam yang dibawa oleh badan bukan kerajaan (NGO) Suaram tersebut telah memberikan taklimat kepada beberapa pemimpin pembangkang di Singapura selepas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada membawa tetamu jemputan dari luar negara itu mengadakan mesyuarat di Bilik Taklimat bangunan Parlimen.

Semasa taklimat itu, peguam tersebut berkata mahu memanggil semula saksi perdana menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Razak dan pembantunya Abdul Razak Baginda yang dibebaskan pada 2008 atas tuduhan bersubahat membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang didakwa pembangkang mempunyai kaitan dengan Scorpene.

"Ini memang jelas menunjukkan campurtangan Singapura tentang hal ehwal negara kita," kata Mohd Ali (gambar), bekas timbalan presiden Umno kepada The Malaysian Insider hari ini.

"Perbuatan seumpama ini adalah tidak demokratik dan tidak melambangkan persahabatan negara jiran yang boleh diharapkan," tambah beliau lagi yang bersetuju dengan pandangan mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Malaysia tidak mempunyai jiran yang baik kerana negara di rantau ini "suka campurtangan dalam hal ehwal negara kita".

Ketua Menteri Melaka tersebut juga mengecam pembangkang yang sudah kehilangan modal dan menyifatkan pemimpin PR sebagai "desperado" yang mengkhianati negara demi kepentingan politik.

"Tindakan pembangkang adalah tindakan desperado yang sudah kehilangan modal dan rasa mereka semakin ditolak oleh rakyat kerana melakukan banyak pembohongan," kata beliau.

Beliau juga berkata tindakan itu adalah tidak wajar sama sekali walaupun tidak berpuas hati ke atas BN yang menguasai Putrajaya dengan berkata, "Tapi takkan kita nak pergi luar negara dan jatuhkan hukuman terhadap negara kita?".

1 ulasan:

zamy berkata...

ini yg dikatakan manusia yg bangang dan bahalol.....dah kau tak bg dibuat didlm Malaysia....salah ker org buat dimana2 yg boleh....bila org berdoa pun tak boleh....sbb mendoakan sesama islam...ttp kau ada fikir yg korang menzalimi sesama islam......alahai bangang...jgnlah cuba nak membangangkan org lain.....