Sabtu, 10 November 2012

Tanah lot di Klang masih milik k’jaan negeri

 
MB Selangor menafikan memberi kelulusan ke atas surat Elizabeth Wong untuk membangunkan Pusat Kebudayaan Cina di atas lot tanah tersebut. 



MERU: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bekas alumni Yayasan Selangor berhubung lot tanah di Klang yang akan dibangunkan sebagai Pusat Kebudayaan Cina.

Beliau menjelaskan tanah lot seluas 18.1 ekar itu telah diserahkan kepada sebuah syarikat swasta pada 2002 oleh kerajaan (Umno- Barisan Nasional) terdahulu.

Tanah itu sepatutnya dibangunkan dalam masa 10 tahun, namun syarikat berkenaan gagal berbuat demikian dan ekoran itu kerajaan Selangor membatalkan perjanjian tersebut dan mengambil semula tanah tersebut.

Abdul Khalid turut menafikan memberi kelulusan ke atas surat dihantar oleh exco kerajaan negeri Elizabeth Wong untuk membangunkan  Pusat Kebudayaan Cina di atas lot tanah tersebut.

“Status tanah lot tersebut kini adalah hak milik kerajaan negeri Selangor dan bukannya Yayasan Selangor seperti didakwa,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Halal Fest di Masjid As Syariff di sini petang tadi.

Jelas beliau, “Yayasan Selangor gagal membangunkan tanah itu dengan cara persendirian. Malah ada lima enam orang termasuklah beberapa individu daripada Umno menulis surat kepada saya memohon untuk membangunkan tanah itu.”

Katanya, perjanjian itu dibatalkan bukan sahaja disebabkan kegagalan tetapi juga disebabkan perjanjian yang berat sebelah. Dalam perjanjian itu juga, dinyatakan bahawa Yayasan Selangor sudah menyerahkan semua kuasa-kuasa kepada syarikat itu.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata ekoran kegagalan syarikat berkenaan, tanah tersebut kini milik Kerajaan Negeri dan masih belum mempunyai sebarang rancangan untuk membangunkan tanah tersebut.

“Tanah itu kita akan bangunkan nanti…….cuma buat masa ini, kita tidak ada apa-apa rancangan lagi,” katanya.

Semalam, Pengerusi Ahli Bertindak Saya Anak Yayasan Selangor, Badrulzaman Baharuddin mendakwa tanah terbabit adalah milik Yayasan Selangor dan akan dibangunkan sebagai Pusat Kebudayaan Cina.

Halal Fest peringkat Negeri Selangor dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam usaha untuk memberi kesedaran kepada anggota masyarakat tentang pentingnya menggunakan barangan halal dan membangunkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Sebanyak 82 gerai menjual produk makanan halal dan pakaian yang mematuhi syariat Islam dipamerkan di sini.

Tiada ulasan: