Kerajaan negeri harus beri tumpuan kepada program keusahawanan untuk tingkat pendapatan golongan miskin.
Sekitar DUN Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hari ini mempersoal langkah kerajaan negeri Pulau Pinang memberi bantuan kewangan berbentuk ‘tambah nilai’ kepada golongan miskin tegar dan miskin yang disifatkan sebagai kurang berkesan.
Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Teluk Bahang Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pemberian bantuan kewangan secara berstruktur itu tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan di Pulau Pinang, selain menggalakkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri seharusnya memberi lebih tumpuan kepada usaha mewujudkan program keusahawanan yang dilihat mampu meningkatkan pendapatan golongan miskin di negeri itu.
“Mana pendekatan komprehensif kerajaan negeri untuk mengeluarkan golongan miskin daripada status mereka sekarang? Sepatutnya mereka ini diberi latihan dan kemahiran yang boleh menjana pendapatan.
“Kaedah pemberian wang tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan sampai bila-bila dan ia hanya bersifat sementara saja,” katanya ketika mencelah ucapan penggulungan usul Belanjawan Negeri 2013 oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) pada persidangan DUN di sini hari ini.
Sementara itu, Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) mempertikai keberkesanan langkah yang diambil kerajaan negeri menghapuskan masalah kemiskinan di Pulau Pinang yang dilihat tidak berjaya.
Beliau mempersoal peningkatan jumlah golongan miskin tegar di negeri itu sedangkan kerajaan negeri berkata sasaran untuk menghapuskan masalah miskin tegar berjaya dicapai pada tahun 2009.
“Tahun sebelum ini kita diuar-uarkan kononnya kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program menghapuskan miskin tegar di mana kira-kira 700 miskin akan diberi bantuan dan dikeluarkan daripada senarai.
“Bagaimanapun, pada tahun ini didapati seramai 833 miskin tegar berdaftar, ada peningkatan jumlah miskin tegar di Pulau Pinang dan kerajaan negeri perlu memperjelaskannya,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan