Ahad, 25 November 2012

Selangor dakwa 134,675 pengundi tidak dapat dikenal pasti

Wartawan Sinar Harian

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri mendakwa mengesan seramai 134,675 orang bersamaan dengan 28 peratus pemilih daftar pengundi yang tidak dapat dikenal pasti melalui Projek Pendemokrasian Negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kajian tersebut mendapati seramai 497,084 pemilih baru pada suku keempat tahun lalu berdaftar dalam Daftar Pemilih Induk.

Katanya, daripada 134,675 pemilih tidak dikenal pasti itu, 51 peratus adalah lelaki dan 44 peratus pengundi baru dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun.

“Daripada aspek bangsa pula, 45 peratus pemilih tidak dikenal pasti adalah berbangsa Melayu, Cina (35), India (13) dan lain-lain (7).

“Kita melaksanakan projek ini kerana ragu dan sangsi dengan penambahan bilangan daftar pemilih yang terlalu ramai di kawasan Dun dan Parlimen Selangor,” katanya pada sidang media di SUK di sini semalam.

Beliau menjelaskan kertas laporan tersebut diedarkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri, semalam.

Ketika ditanya pemberita berhubung ciri-ciri pemilih tidak dapat dikenal pasti, Abdul Khalid berkata, beliau akan menjelaskannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum mendedahkannya.

Menurutnya, Dun Sri Serdang mencatatkan bilangan pemilih tidak dapat dikenal pasti paling ramai iaitu melebihi 9,000 orang, diikuti Subang Jaya (8,000), Hulu Klang (lebih 5,000).

Katanya, Bukit Lanjan, Kinrara, Kota Anggerik, Kota Damansara, Sri Muda dan Taman Medan masing-masing mencatatkan lebih 4,000 pemilih.

Abdul Khalid berkata, kajian tersebut mendapati terdapat lima kawasan Dun tidak mempunyai peta lengkap iaitu Sungai Panjang, Sri Serdang (daerah mengundi tidak wujud dalam peta), Damansara Utama (sempadan tidak dibetulkan), Hulu Klang, Sementa dan Selat Klang (sempadan daerah mengundi tidak jelas).

“Kajian ini membuktikan kebimbangan kita terhadap peningkatan jumlah pengundi meragukan di kawasan Dun tertentu adalah berasas dan kukuh.

“Sehubungan itu, kita akan membawa hasil kajian ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan penjelasan sebelum tindakan lanjut kita ambil sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Ketika ditanya pemberita, bila laporan tersebut akan diserahkan kepada SPR, Abdul Khalid berkata, beliau akan menyerahkan selepas berakhir sidang Dun dijangka minggu depan.

Tiada ulasan: