Selasa, 6 November 2012

Rafizi ke HK siasat isu RM40 juta Umno

KL TODAY

 

Wang seludup RM40 juta yang diserahkan oleh ahli perniagaan, Michael Chia kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman kini berada dalam akaun Umno Sabah.

Maklumat itu dinyatakan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dari Barisan Nasional kepada Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli pada satu program di Sabah dua hari lalu.

“Saya dimaklumkan oleh Rahman Dahlan. Persoalan besar ialah, kenapa sekarang? Semenjak 2008, wang itu baru timbul dalam akaun Umno Sabah?” katanya kepada pemberita di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

“Mengikut skop besar SPRM, fail ini patut dibuka semula. Ia tak sukar. Kalau perkara (siasatan) boleh dibuat terhadap rakyat biasa, tanpa kuasa dan sumber, lebih-lebih lagi (membabitkan pimpinan) kerajaan.

“Ini kes berprofil tinggi. Hal ini kemudiannya terpulang kepada SPRM. Ada banyak versi berbeza. Kita akan terus menjejak petanda dan akan ada beberapa lagi pendedahan,” jelas Rafizi.

Mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009, mana-mana orang yang sendiri atau melalui atau bersama mana-mana orang lain secara rasuah atau menerima atau bersetuju menerima bagi dirinya atau mana-mana orang lain melakukan kesalahan rasuah.

“Sebab itu SPRM dituntut membuat siasatan,” tegasnya.

Turut hadir bersama Rafizi membuat laporan di ibu pejabat SPRM ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa yang juga Ketua Penyelaras Jingga 13.

Rafizi dijangka akan ke Hong Kong minggu depan untuk bertemu Suruhanjaya Bebas Terhadap Rasuah (ICAC) bagi mendapat keterangan lanjut berhubung kes pemberian RM40 juta oleh jutawan balak Sabah, Michael Chia kepada Ketua Menteri Sabah, Datul Seri Musa Aman.

“Saya akan ke Hong Kong minggu depan atau minggu berikutnya. Kita nak dapatkan jawapan ICAC kerana sehingga kini tidak ada apa-apa kenyataan rasmi. Pada masa sama pihak (di Malaysia) berminat untuk dapatkan maklumat.
 
 “Kita tahu ada media (Malaysia) hubungi ICAC. Hal ini melibatkan nama baik dan reputasi ICAC sendiri,” katanya kepada pemberita di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya selepas melaporkan kes itu petang tadi.
 
Rafizi berkata, ICAC sebelum ini dikata telah membersihkan nama Chia. Namun, penemuan baru di Malaysia berhubung pemberian wang RM40 juta kepada Umno Sabah kini melibatkan keluarga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

KEADILAN menuntut SPRM membuka fail siasatan terhadap Nazri apabila keluarganya mendapat manfaat dengan tujuan mempengaruhi keputusan membersihkan nama Chia.

“Akan berlaku konflik kepentingan. Sebab itu kita desak Perdana Menteri, Najib Razak arah Nazri bercuti. Berbeza dengan kes Shahrizat (Jalil) (NFC), Nazri adalah Menteri yang bertanggungjawab ke atas SPRM,” jelasnya.

KEADILAN sebelum ini mendedahkan wujud unsur rasuah apabila kenderaan mewah Hummer berharga RM479,000 diberikan kepada anak Nazri, Nedim seolah-olah untuk membersihkan nama Chia.

“Nazri sampai hari ini tak nafikan (pemberian Hummer). Nazri seperti tak rasa bersalah dengan hujahnya mengatakan dirinya tiada kaitan. Mengikut tafsiran kami, kes ini ada asas untuk disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Seksyen 16 (a).

“Sebelum ini dalam kes NFC, kita beri semua maklumat yang ada, termasuk transaksi kepada Jabatan Jenayah Komersil. Tapi SPRM tak pernah hubungi. Sebab itu kita alu-alukan semua pihak termasuk wartawan untuk berkongsi maklumat yang ada untuk membantu pembongkaran,” katanya.

Tiada ulasan: