Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara ini mengakui bahawa walaupun keputusan kali ini akan memperlihatkan majoriti mengecil tetapi kemenangan masih akan memihak kepada BN.
“... mereka akan dapat minimum 120 kerusi. Sekarang 140 kerusi, 24 kerusi kelabu, baki 70 kerusi Pakatan Rakyat... (pada keseluruhan) majoriti tipis,” katanya dalam satu temu bual menjelang Perhimpunan Agung Umno 2012, di pejabatnya di Bandar Baru Bangi.
Empat tahun lalu, BN memperoleh 140 kerusi, manakala pembangkang 84. Ia pencapaian terburuk dalam sejarah BN.
Berdasarkan statistik semasa, BN memiliki 137 kerusi, manakala PKR (23), DAP (29), Pas (22) dan Parti Sosialis Malaysia (satu), Bebas (lapan) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (satu). Satu kerusi kosong.
Shamsul berkata, situasi prestasi ini bersandarkan pada hasil kajian pihaknya, September lalu dan kajian baru akan dikendalikan bulan depan dengan mengambil kira perkembangan sepanjang Oktober dan November.
Antara perkembangan penting sepanjang dua bulan lalu ialah insentif dan imbuhan yang diumumkan menerusi Bajet 2013. Antara lain, Bajet 2013 menyediakan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 dan pembayaran bonus satu setengah bulan kepada kakitangan awam.
Bajet 2013 telah diluluskan Parlimen, semalam dan pelaksanaan kandungan dijangka akan dilakukan mulai akhir bulan depan iaitu pembayaran bonus sektor awam.
Bagaimanapun Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia ini berkata, kajian pihaknya menunjukkan BN masih boleh membentuk semula Kerajaan Pusat dengan majoriti tipis.
“Ini kerana berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak Pakatan Rakyat, pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim... mengatakan mereka akan menang banyak kerusi di Johor, dan itu pun jumlah kerusi berkemungkinan diperoleh mereka hanya 109.
“Jumlah 109 ini berdasarkan data mereka, ini belum cukup untuk memerintah... untuk majoriti mudah pun, kita memerlukan 112 kerusi. Jadi, apa pun BN akan kekal berusaha meskipun majoriti mereka menurun,” katanya.
Mengulas lanjut, Shamsul tidak menolak kemungkinan kerusi yang bakal diperoleh BN akan naik tetapi tidak akan menurun daripada 120 kerusi yang diramalkan sekarang.
“Kemungkinan jumlah kerusi yang akan dimenangi BN naik itu ada... berdasarkan pada apa yang berlaku Oktober dan November,” katanya.
PR yang dianggotai Pas, PKR dan DAP yakin akan memperoleh kerusi Parlimen tambahan dengan memperkukuhkan kedudukan di Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak yang menawarkan 56 kerusi Parlimen dilihat sebagai ‘simpanan tetap’ BN.
Minggu lalu, Pas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak takut untuk memanggil PRU13.
Spekulasi sebelum ini menyebut Najib akan memanggil PRU13 pada bulan Jun lalu, sebelum Ramadan. Bagaimanapun, spekulasi itu meleset dan spekulasi seterusnya meramalkan September dan ia meleset lagi.
Mengambil kira kedudukan semasa, Shamsul tidak menolak kemungkinan Najib akan membubarkan Parlimen pada Februari, manakala pilihan raya akan berlangsung awal Mac.
Dalam satu temu bual Ogos lalu, beliau berkata, Najib seharusnya menggunakan tempoh mandat semasa sepenuhnya dan hanya memanggil PRU13 tahun depan.
Mengulas mengenai Perhimpunan Agung Umno 2012, katanya, pertemuan tahunan kali ini sangat penting untuk Najib, bukannya untuk Umno.
“Ia sangat penting untuk Najib sebab populariti Najib ini 70 peratus, Anwar 43 peratus sahaja lebih kurang, dia kelihatan lebih munasabah dari hari ke hari, persepsi orang ialah apa yang beliau tak buat, semua dia bagi,” katanya.
Justeru menurut beliau, Najib yang juga Presiden Umno akan membawa partinya ke depan untuk menghadapi PRU13.
Perhimpunan Agung Tahunan 2012 akan berlangsung dari 27 November hingga 1 Disember ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan