Di sebalik harapan tinggi, prestasi skuad kebangsaan sepanjuang empat perlawanan persahabatan lalu, ramai yang mengkritik dan melemparkan kecaman.
Selaku pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal berkongsi perkembangan sepanjang tiga tahun lalu. Beliau masih meletakkan keyakinan tinggi ke atas pasukan kebangsaan.
Begitu juga beliau yakin dengan pendekatan dan kepimpinan jurulatih Datuk K. Rajagobal.
Sambil menekan aspek hikmah di sebalik perkembangan semasa, Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM) berkata, Harimau Malaya yang kini berada dalam keadaan 'berluka' akan kembali bangkit.
Justeru, Subahan yakin bahawa Harimau Malaya akan membuktikan segala kecaman dan kritikan itu tidak benar.
"Saya akui pemain kita tidak mempamerkan aksi terbaik pada hari tersebut, tetapi bagi saya, saya melihatnya sebagai hikmah kerana dengan adanya kritikan dan pandangan sebegitu. Ia membuatkan pemain bersemangat dan berazam uktuk membuktikan kekuatan sebenar kepada peminat, pengkritik dan sebagainya.
"Kita akan buktikan bahawa kami akan bangkit dan saya tahu pemain saya, setiap kali mereka dalam keadaan tertekan mereka akan bangkit. Jadi perlawanan pertama menentang Singapura Ahad ini perlawanan yang ditunggu dengan penuh debaran dan bagi saya, saya bersemangat menunggu perlawanan ini," kata Subahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer.
Ikuti temu bual bersama Sinar Harian Online yang dikendalikan di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor Khamis lalu.
SINAR HARIAN ONLINE: Apa status dan kedudukan pasukan kebangsaan sekarang?
SUBAHAN: Satu perkara yang paling mustahak apabila pihak pengurusan FAM, kita bukan sahaja menitikberatkan tentang kemenangan dan mana-mana piala, tapi inginkan gambaran yang lebih besar supaya pasukan kebangsaan boleh menjadi satu pasukan yang boleh dibanggakan dan ada kesinambungan dalam mana-mana perlawanan.
Kalau dilihat pasukan luar negara seperti England dan Brazil bukannya selalu menang tiap-tiap kali menyertai Piala Dunia - maksudnya mereka akan sampai di satu tahap sama ada suku akhir atau separuh akhir - bukan menang tapi ke satu tahap yang kita rasa bangga.
Kita hendak pastikan bahawa skuad kebangsaan setelah menang Piala AFF 2010, sebenarnya bukan perancangan 2010... kita ingat 2012 akan menang selepas menang Sukan SEA pada 2009, selepas satu tempoh jurang 20 tahun.
Tetapi nampaknya kemenangan datang lebih cepat, dua tahun lebih awal, Matlamat kita nak pastikan sama ada suka atau pun tidak suka, kena sampai sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam kejohanana AFF walaupun hasrat kita nak menang atau mempertahankan kejuaraan.
Tetapi bagi saya, sekiranya kita dah berjaya berada di satu tahap yang membanggakan, saya dah berpuas hati, tapi menjadi masalahnya sekarang ini disebabkan kita menjadi tuan rumah dan ditambah Malaysia merupakan juara bertahan.
Persepsi daripada seluruh rakyat Malaysia termasuk pemimpin-pemimpin negara dan rakyat ingin memastikan kita terus mempertahankan kejuaraan.
Benda ini, rasanya tidak mustahil dengan adanya pasukan seperti hari ini, kita boleh, meskipun kita lihat dalam perlawanan persahabatan sebelum ini pemain kurang mempamerkan prestasi yang membanggakan, tapi ternyata saya dan jurulatih setelah bersama sejak tahun 2009 dan masa itu pemain-pemain hanya berumur dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun, dan mereka masih bersama kita dari tahun 2009 dan 2010, kita tahu karakter mereka, keperibadian mereka - mereka adalah pemain-pemain yang akan memberi persembahan terbaik apabila mereka berada dalam keadaan tertekan.
Jadi, apabila ramai rakyat yang mengkritik, penganalisis sukan mengatakan skuad Harimau Malaya longlai, bagi saya, saya menerima dan menganggap apa yang berlaku semua ini ada hikmah di sebaliknya.
SINAR HARIAN ONLINE: Maknaya?
SUBAHAN: Jadi bagi saya, setelah kita sengaja mengatur perlawanan persahabatan dengan Vietnam, kerana suka ataupun tidak suka, hari ini kita kena terima hakikat bahawa Vietnam bukan sahaja dari segi ranking, tapi dari segi kekuatan pasukan pun, kita memang tahu Vietnam sebuah pasukan yang kuat di rantau Asia dan disusuli oleh Thailand.
Jadi, sengaja pihak persatuan dan Datuk K. Rajagobal mengaturkan perlawanan ini, bagi membolehkan kita mengukur sendiri setakat mana kemampuan kita dan sejauh mana kehebatan mereka.
Walaupun kita kalah, walaupun ramai yang menginginkan kita menang, tapi bagi saya, kalah itu tiada masalah. Hanya apabila kita bermain pada hari tersebut, kita dapat melihat di mana kelemahan kita dan kita dapat lihat di mana kita perlu baiki dan kita juga lihat sejauh mana kehebatan pihak lawan. Pada masa yang sama, apabila kita kalah, pemain berasa begitu terkilan sebab mereka tahu mereka mampu melakukan lebih baik daripada itu.
Kemudian kita lawan Hong Kong. Sebenarnya lawan dengan Hong Kong, tidak seteruk mana persembahan pemain, hanya beberapa kesilapan yang kita selalu ulangi, khususnya di bahagian pertahanan di mana dalam tempoh penghabisan, kita selalu hilang fokus dan membiarkan pihak lawan mendapat kelebihan dengan menjaringkan gol.
Dengan Bangladesh, kita banyak mengharapkan Bangladesh ini adalah pasukan belasahan tapi walaupun rankingnya 171, kita jangan lupa Bangladesh pun sama dengan Filipina, bukan Bangladesh seperti dulu. Cuma persepsi masayarakat Malaysia, kalau dengar Bangla sahaja, anggap tiada kelas. Itu tidak benar. Kalau kaji balik, Bangladesh telah menang banyak kejohanan di rantau Asia Selatan.
Saya akui pemain kita tidak mempamerkan aksi terbaik pada hari tersebut, tetapi bagi saya, saya melihatnya sebagai hikmah kerana dengan adanya kritikan dan pandangan sebegitu. Ia membuatkan pemain bersemangat dan berazam untuk membuktikan kekuatan sebenar kepada peminat, pengkritik dan sebagainya.
Kita akan buktikan bahawa kami akan bangkit dan saya tahu pemain saya, setiap kali mereka dalam keadaan tertekan, mereka akan bangkit. Jadi perlawanan pertama menentang Singapura Ahad ini, perlawanan yang ditunggu dengan penuh debaran dan bagi saya, saya bersemangat menunggu perlawanan ini.
Saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, kita hendak memastikan akan memberi terbaik dan akan menang menentang Singapura. Dan, saya pernah menasihatkan para pemain bahawa saya tidak mahu kita melayakkan diri ke separuh akhir seperti mana dua tahun lepas. Di mana perlawanan pembukaan kita kalah kepada Indonesia 1-5, kemudian kita menang dan masuk atas 'belas kasihan orang lain', kemudian kita seri dengan Thailand dan nasib membantu kita layak ke separuh akhir selepas Indonesia menang ke atas Thailand.
Kali ini, kita perlu habiskan dari awal, mara dengan bergaya, menang dengan bergaya... tidak boleh raih kegagalan, lawan dengan Loas perlu menang, lawan Singapura perlu menang dan lawan Indonesia perlu menang.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah senario sekarang sama seperti situasi dua tahun lepas, kalah kena kritik, dikritik teruk macam sekarang sebelum kejohanan sebenar bermula?
SUBAHAN: Senario yang sama. Pada 2010 ramai orang mengkritik kita dan khususnya kepada jurulatih kerana beliau menyenaraikan terlalu ramai pemain muda, tidak mengambil pemain senior. Mereka mengkiritik Rajagobal. Senario hari ini sama senario dulu.
Sebab itu, saya tetap yakin bahawa pemain-pemain ini walaupun muda, purata umur dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun, tapi mereka berbekalkan terlalu banyak pengalaman dalam diri mereka, mereka pernah bermain pada persaingan Piala AFC, Sukan SEA 2009, dan juga AFF. Kita pernah lawan dengan kelab-kelab EPL, Arsenal, City.
Jadi mereka ada banyak pengalaman yang diperoleh. Jadi tidak ada sebab mengapa mereka tidak harus memperlihatkan persembahan yang baik dalam kejohanan ini, tiada sebab langsung.
Jadi, saya tidak boleh terima alasan kenapa kita tidak boleh beraksi dengan baik dan menjadi juara kejohanan kali ini kerana pengalaman yang ada pada mereka cukup, lebih dari cukup.
SINAR HARIAN ONLINE: Tadi, Datuk mengatakan bahawa Datuk kenal karakter setiap pemain. Setakat mana Datuk rapat dengan pemain, pasukan?
SUBAHAN: Sangat rapat. Kami macam keluarga. Bila saya jadi pengurus pada tahun 2009, dan berganding dengan Rajagobal, saya merasakan gandingan yang diberikan kepada kami cukup mantap. Kami selalu berbincang, bertukar pandangan dan beliau pun apa-apa buat keputusan akan meminta kebenaran.
SINAR HARIAN ONLINE: Selaku pengurus, berdasarkan kecaman dan kritikan pedas diterima, apakah Datuk Rajagobal berada dalam keadaan tertekan?
SUBAHAN: Tidak, bagi saya beliau tidak tertekan. Rajagobal pernah melalui situasi ini. Bagi kami, kami tahu macam mana hendak menangani tekanan kerana kami pernah melalui situasi lebih buruk berbanding ini. Jadi, kami sebagai pengurusan tertinggi pasukan kebangsaan, kita selalu mengingatkan pemain bahawa kita kena terima kritikan, kita kena terima tekanan, kita perlu menunjukkan balik kepada pengkritik dan orang yang berkenaan bahawa mereka adalah silap.
SINAR HARIAN ONLINE: Apa matlamat sebenar pasukan kebangsaan?
SUBAHAN: Saya percaya apa yang kami lakukan ini bukan setakat memfokus saingan Piala AFF, tetapi bergerak jauh ke depan. Matlamat kami sejak 2011 adalah untuk melayakkan diri ke final Asian Cup 2015 di Australia. Ini sasaran kami. Jadi selepas AFF, kami akan mulakan kempen AFC 2015 dengan perlawanan pertama akan bertemu Qatar. Qatar bukan pasukan yang mudah, tetapi satu pasukan yang kuat, dan kami yakin kerana kami juga ada bermain dengan banyak pasukan di rantau Timur Tengah.
SINAR HARIAN ONLINE: Melihat pada keadaan semasa, adakah kita boleh mengharapkan terbaik daripada pasukan kita?
SUBAHAN: Kita tidak melakukan yang terbaik. Ia bukan apa yang kita jangkakan. Walaupun kalah dengan Thailand, dengan Vietnam dan seri dengan Bangladsh, saya merasakan situasi yang baik dan senario yang baik. Kerana kalau kita menang dengan Vietnam dan Thailand, perlawanan sebenar nanti mereka akan mendabik dada, akan merasa kita ini bagus dan besar kepala. Mereka akan memperlekehkan lawan.
Jadi, kalau kalah kita seakan-akan dilihat sebagai harimau yang terluka. dan biasanya harimau ini akan menjadi lebih ganas dalam situasi sebegini. Kita juga akan risau bahawa pasukan kita masih perlu diperbaiki. Maka, masa akan datang mereka akan lebih berhati-hati.
Semalam pun, semasa melakukan sesi dialog bersama jurulatih dan pemain-pemain, kita pun bertanya kepada pemain dan ketua pasukan, Safiq Rahim sendiri mengakui dengan ikhlas bahawa pemain-pemain merasakan sangat terkilan dengan persembahan mereka. Mereka tahu mereka boleh melakukan dengan lebih baik dengan apa yang mereka pamerkan. Dengan itu, mereka berjanji akan bermain bermatian-matian sehingga ke titisan darah yang terakhir demi perjuangan negara dan imej bola sepak negara.
SINAR HARIAN ONLINE: Program pemulihan semangat selama tiga hari di Pulau Pangkor minggu lalu nampaknya tidak memberi sebarang kesan. Malah dilihat para pemain semakin hilang fokus dan keyakinan diri?
SUBAHAN: Sebenarnya tidak. Itu semua hanya kebetulan sahaja. Pada tahun 2010 pun sebelum bermula Piala AFF, kami bercuti di Pulau Langkawi, dalam mana-mana pasukan pun termasuk luar negara, sebelum perlawanan, pemain akan dibawa bercuti untuk tenangkan fikiran, kuatkan semangat berpasukan, kembalikan semangat.
Lawatan ke Pangkor bagus, dan permainan yang dipamerkan pemain kebetulan sahaja. tiada kena-mengena langsung dengan lawatan di Pangkor bagi saya, walaupun ramai yang mengkritik dan maki hamun, saya tidak ambil peduli dan sentiasa fokus. Kami akan memberi yang terbaik pada hari minggu ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Perancangan dua tahun lepas, adakah semuanya berjalan dengan lancar atau ada yang tergendala?
SUBAHANl: Tergendala sekejap sahaja. Tahun 2009 kita menang Sukan SEA... kemenangan itu datang dengan cepat selepas 20 tahun kami mengambil alih, terus kami menang Sukan SEA.
SINAR HARIAN ONLINE: Datuk kata kita menang dengan cepat, adakah kita tidak konsisten dengan prestasi itu?
SUBAHAN: Bukan, saya kata tidak boleh. Tetapi ia satu usaha yang sukar. Untuk menang memang senang, tetapi untuk kekalkan kemenangan, ia sukar. Bukan sahaja bola sepak, tetapi dalam apa juga proses. Satu sahaja yang kita tidak mencapai sasaran, kita tidak berjaya melayakkan diri dalam kejohanan dunia.
Sasaran kita masuk kelayakan Piala Dunia, dan berharap masuk ke peringkat seterusnya, tapi kita kalah dalam aksi pembukaan kepada Singapura 3-5. tapi kita dah cuba yang terbaik dan kami terima.
Sebenarnya dalam peracangan FAM sendiri, kita tidak mahu jadi jaguh di rantau ini sahaja. Memang kita nak juara Sukan SEA dan berjaya mempertahankan kejuaraan tapi yang pentingnya bagi saya adalah kita layak untuk kelayakan Piala Dunia.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Datuk membawa peranan sebagai pengurus dalam skuad kebangsaan?
SUBAHAN: Dah tiga tahun saya bersama Harimau Malaya. Tugas saya sebenarnya lebih ke arah kepada kebajikan pemain. Kemudian nak semarakkan jati diri dan menyuntik semangat pemain. Seperti mana saya cakapkan sebelum ini ada tiga eleman yang akan menentukan hala tuju pemantapan skuad kebangsaan.
Pertama, kehebatan kejurulatihan... mengenai jurulatih iaitu Rajagobal, walaupun saya dengan dia ada pandangan berbeza, saya menghormati dia sebagai jurulatih yang profesional, namun kami boleh bekerja bersama. Apa sahaja keputusan dia lakukan, dia akan merujuk kepada saya dan kami ibarat satu keluarga.
Kedua jati diri, semangat para pemain tidak cepat mengaku kalah yang menjurus daya saing mereka dan karakter ini yang menjulang Harimau Malaya menjuarai Piala AFF pada 2010, hatta muntah darah sekali pun, yang penting kita menang.
Ketiga, pemberian insentif, soal insentif, biarpun orang menganggap ini tidak penting, namun bagi pemain ia penting, kerana menyentuh soal kebajikan mereka. FAM ada skim khas untuk diberikan kepada setiap pemain jika mencapai kemenangan dalam mana-mana perlawanan.
Itu sebab Perdana Menteri sendiri datang (Rabu lalu) dan bagi semangat kepada pemain. Tugas saya memang pembakar semangat. Saya suka memberi motivasi kepada golongan anak-anak muda, jadi ini tugas saya.
Apa yang paling penting kita perlu memberikan perhatian untuk kebajikan pemain. Dulu skuad kebangsaan untuk mendapatkan imbuhan agak susah. Tapi sekarang pemain diberi imbuhan yang begitu tinggi. Setiap perlawanan akan diberi ganjaran ada bonus.
Setiap pengorbanan pastinya ada pengajaran. Contonnya, saya selalu tekankan kepada pemain, bermain bola ini sebagai satu pengorbanan kerana tinggalkan keluarga pada waktu pagi dan petang dan mereka akan dapat ganjaran setimpal atas usaha mereka itu. Tengoklah apa yang terjadi pada Safee Sali, dia kini menjadi jutawan segera di Indonesia selepas mempamerkan prestasi cemerlang di AFF lalu. Begitu juga dengan Khairul Fahmi yang dianggap antara superstar pada masa kini.
SINAR HARIAN ONLINE: Bermakna, boleh dikatakan FAM sedang menyediakan platfrom untuk membawa pemain ke peringkat antarabangsa?
SUBAHAN: Ya, kita buat untuk kebajikan mereka. Bukan sahaja nak meningkatkan prestasi bola sepak negara, tetapi dengan senario yang kita ada dengan jurulatih yang bagus dengan pengurus yang memberi semangat kemudian dengan imbuhan yang diberikan, kita mahu sekali gus, itu akan memberikan kemenangan. Apabila kita menang, mutu bola sepak akan tinggi. Tiga tahun lepas, kita nak tengok rakyat Malaysia pakai baju Malaysia pun susah, hari ini berlumba-lumba nak beli baju Malaysia.
SINAR HARIAN ONLINE: Segelintir rakyat mengkritik FAM, Tuanku Presiden, Timbalan Presiden Tengku Abdullah. Apa pandangan Datuk selaku Naib Presiden dan pengurus pasukan kebangsaan?
SUBAHAN: Ini kerana mereka tidak faham. Mereka tidak duduk dalam FAM, mereka tidak faham apa yang berlalu. Saya inginkan tekankan sekali lagi kepada rakyat Malaysia, meskipun kita badan induk bola sepak negara, tapi kita tidak mendapat apa-apa bantuan dari kerajaan.
Kita adalah entiti persendirian. Kita mengelola FAM melalui budi bicara Sultan yang begitu lama berkorban, bukan sahaja masa, tapi wang ringgit beliau untuk kemajuan bola sepak negara.
Dengan adanya budi bicara Tuanku Sultan, kita berusaha mendapatkan tajaan Astro, Telekom. Dan, bagi saya kejayaan FAM dan skuad kebangsaan hari ini, tanpa adanya Tuanku Presiden, mustahil kita akan berada di tahap seperti ini sekarang.
Ini yang saya tidak faham, padahal segala kewangan dicari oleh Sultan, bukan orang lain, jadi baginda orang yang paling layak mengkritik, bukan orang lain. Tuanku yang lebih layak sebab beliau yang banyak membantu FAM.
Dan, bagi saya Tuanku Sultan tidak akan mengganggu dari segi pengurusan, apa pun dari segi jurulatih, beliau tidak pernah. Sultan hanya memberikan pandangan bernas, tetapi dari segi mengganggu tugas cara jurulatih dan sebaliknya tidak pernah. Sultan sangat profesional.
Dunia bola sepak sudah berubah. Kita boleh lihat sekarang stadium dah mula dibanjiri penyokong. Meskipun kita kurang mempamerkan prestasi cemerlang menentang Bangladesh, tapi saya yakin Stadium Bukit Jalil akan dibanjiri oleh penyokong Malaysia pada Ahad ini.
Saya pasti kerana kita akan lawan dengan Singapura dan ini pembukaan pertama. Dan, saya yakin semua rakyat malaysia tidak kira bangsa, umur akan keluar beramai-ramai untuk menyokong skuad kebangsaan kerana dengan adanya semangat 1Malaysia, sokongan padu ia akan menghasilkan kejayaan buat pasukan dan memberi suntikan moral kepada pemain.
Telekom Malaysia contohnya telah memberikan RM1 juta kepada pasukan negara setiap kali kita menang kejuaraan. Saya pun ada berbincang dengan syarikat swasta untuk tampil memberi sokongan dan insentif sekiranya kita menang. Jadi dari segi imbuhan tiada masalah. Setiap kemenangan ada insentif.
Jadi apa yang kita nak adalah Malaysia akan berjaya. Sekiranya berjaya, yang akan mendapat manfaat adalah pemain kerana mereka akan terima ganjaran yang banyak. Mereka akan terima hadiah-hadiah yang bagus kerana menghargai jasa mereka.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pun semalam (Rabu lalu) berkata, sekiranya kami menang, beliau akan beri sesuatu. Meskipun kita tidak mahu bermain kerana wang ringgit, tetapi ini juga menjadi satu elemen dalam menyuntik semangat pemain untuk lebih cemerlang. Insentif sangat penting.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula dengan MSN, adakah sudah tiba masanya pihak terbabit menghulurkan imbuhan seprti mana dibuat kepada Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela?
SUBAHAN: Saya rasa tiada masalah dan saya juga bersetuju sekiranya pihak Kementerian Belia dan Sukan dan MSN mengadakan satu pelan ganjaran yang boleh diberikan kepada semua pemain - bukan sahaja kepada skuad kebangsaan tetapi mana-mana pemain lain yang mewakili negara dan berjaya mengharumkan nama negara, pastinya perlu satu insentif untuk diberikan. Ini kerana ia pastinya memerlukan imbuhan atau ganjaran untuk memberikan suntikan semangat yang lebih kepada pemain.
SINAR HARIAN ONLINE: Rajagobal dikritik selalu dengan eksperimen beliau, tetapi kesudahannya gagal?
SUBAHAN: Bagi saya ia tidak gagal, ini saya kata, orang kalau tidak faham bola, dia memang akan kata eksperimen. Bagi saya beliau seorang jurulatih profesional, beliau harus diberikan ruang seluas-luasnya. Walaupun kita berbincang dan bertukar pandangan, tapi akhirnya saya memberi dia ruang untuk buat apa sahaja, saya menghormati beliau. Dia nak buat eksperimen, atau apa sahaja.... adalah hak beliau sebagai jurulatih, dan kalau kita menang, maka semua akan seronok, sekiranya kalah, beliau akan bertanggungjawab bukan sahaja kepada rakyat, tetapi kepada FAM.
Jadi, sekiranya beliau mahu buat apa-apa pun, itu hak dia, siapa kita untuk bertanya. Lagipun dia sudah diberikan mandat sebagai ketua jurulatih, jadi beliau boleh buat apa sahaja dan bagi saya eksperimen itu tidak timbul kerana saya selalu berpesan kepada Rajagobal, bakat di luar banyak, jangan hanya fokus kepada 20 pemain ini sahaja. kita mahu pemain yang hebat.
Lagipun dengan adanya eksperimen seperti ini, kita sudah memiliki hampir 60 pemain di pasukan kebangsaan, yang boleh dipanggil bila-bila masa sahaja.
Bagi saya, tindakan yang dibuat Rajagobal sangat bagus. Beliau sentiasa memberi peluang kepada pemain baru. Apa yang Rajagobal buat adalah baik, tapi untuk saingan Piala AFF, beliau sudah mempunyai barisan kesebelasan utama. Mereka akan turunkan barisan terbaik.
SINAR HARIAN ONLINE: Ada orang berpendapat Rajagobal patut digugurkan dan digantikan?
SUBAHAN: Itu biasalah. Ini yang saya katakan, bagi orang yang tidak faham tentang bola sepak, mereka akan berkata sedemikian. Kita lihat jurulatih luar negara pun seperti jurulatih Arsenal, Arsene Wenger pun tidak mencapai apa-apa pun kemenangan dalam lima tahun, tapi pihak atasan mereka tetap percayakannya.
Bagi saya, saya gembira dengan beliau. Begitu juga dengan FAM. Kita sepatutnya menghargai Rajagobal. Kita janganlah lupa jasa beliau yang berjaya mengembalikan kembali kegemilangan bola sepak negara. Banyak jasa beliau kepada negara. Jadi apabila beliau kecundang sekarang, kita harus memberi sokongan moral dan bukannya mengkritik.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah Rajagobal telah mencapai sasaran yang diinginkan oleh FAM?
SUBAHAN: Bagi saya sebagai pengurus, Rajagobal telah mencapai KPI yang ditetapkan oleh FAM. FAM telah memberi saya mandat untuk mengurus pasukan kebangsaan, saya bertanggungjawab setiap apa yang berlaku. Saya begitu gembira dengan prestasi Rajagobal.
SINAR HARIAN ONLINE: Apa yang berlaku perkembangan setakat ini, Piala AFF bukan segala-galanya?
SUBAHAN: Ya, itu yang saya maksudkan. Kita perlukan kesinambungan. Setiap Sukan SEA, kita ke final dan Piala AFF, kita mara ke separuh akhir.
SINAR HARIAN ONLINE: Apa impian dan cita-cita FAM dan Datuk selaku pengurus?
SUBAHAN: Cita-cita saya mudah, saya tidak impikan untuk menang Piala Dunia ataupun melayakkan diri ke Piala Dunia, saya rasa, masih banyak yang perlu dilakukan oleh Malaysia. Rasanya kalau kita berjaya melepasi AFC 2015 di Australia pun sudah satu pencapaian yang kagumkan.
Piala Dunia masih jauh... saya seorang yang praktikal dan masih berpijak di bumi yang nyata. Apa yang saya harapkan skuad kebangsaan akan menjadi satu pasukan yang digeruni di rantau Asia. Itu sahaja impian saya. Itu pun dah cukup.
SINAR HARIAN ONLINE: Pandangan Datuk mengenai kedudukan ranking? Ramai melihat ia sangat penting tetapi kita berhadapan dengan penurunan.
SUBAHAN: Ranking macam badminton, Lin Dan dan Chong Wei, berapa banyak kejohanan yang kita sertai, banyak kejohanan kita sertai, semakin tinggi ranking. Dalam bola sepak, kami tiada masa untuk mengadakan banyak perlawanan persahabatan.
Bagi saya, ranking cuma sebagai satu pengukur oleh Fifa. Tapi saya tidak merasakan ranking adalah angka untuk mengukur kekuatan sebenar. Pastinya kita mahu naikkan rankig , tapi saya tidak kisah atau gusar dengan ranking sebenarnya apa yang penting dalam setiap kejohanan yang disertai, kita mesti menang. Ranking bukan membawa kepada kemenangan tapi kemenangan membawa kepada ranking. Ranking cuma subjektif, kita tidak perlu risau sebenarnya. Ranking tidak penting bagi saya.
SINAR HARIAN ONLINE: Menjelang perlawanan Ahad ini (esok), mesej Datuk selaku pengurus pasukan kebangsaan?
SUBAHAN: Saya merayu dan memohon kepada semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau usia, mereka seharusnya jangan mudah patah semangat. Kepada mereka, pada tahun 2009, 2010, inilah barisan pemain yang telah membawa kejayaan buat negara. Berjaya kembalikan kegembilangan bola sepak. Jadi apa yang rakyat perlu buat, berikan kami sokongan, pastikan Stadium (Bukit Jalil) dibanjiri kerana sokongan merupakan elemen penting untuk tingkatkan semangat pemain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan