Oleh Sidiqin Omar
DAMANSARA: UBS Bank di Switzerland membuka siasatan kes pengubahan wang haram berjumlah USD90 juta yang didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Ia didedahkan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah pada ceramah Merdeka Rakyat di Padang Bola Apartment Damansara Damai, di sini malam tadi.
“Nama Musa Aman dikaitkan dengan siasatan kes ‘money laundering’ (pengubahan wang haram) berjumlah USD90 juta di Switzerland.
“Nama Musa dikatakan sebagai salah seorang pemegang akaun yang disiasat,” katanya depan lebih 5,000 rakyat.
“Bukan itu sahaja, kes melibatkan Musa Aman juga kini akan dibuka di Hong Kong melibatkan wang pemberian oleh jutawan balak Michael Chia berjumlah RM40 juta,” kata Ahli Biro Politik KEADILAN itu.
Sivarasa berkata, puluhan laporan dibuat terhadap pemimpin Umno BN kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun hingga kini tiada seorang pun didakwa.
“Bila kita buat laporan, dia tutup fail. Bila kita tanya di Parlimen, mereka tak jawab,” jelasnya.
Beliau juga menyentuh berkenaan kekayaan yang dikumpul Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya sepanjang lebih 20 tahun memerintah.
“Harta atas nama Taib Mahmud sahaja RM15 bilion. Dicampur dengan nama anak-anak dan adik beradiknya yang berjumlah RM6 bilion, bermakna keseluruhan harta keluarga Taib Mahmud berjumlah RM21 bilion.
“Macam mana dia dapat? Kalau nak cerita hal rasuah pemimpin Umno BN, ceramah sampai esok pun tak habis,” sambung Sivarasa.
“Kerajaan Malaysia ini seperti orang yang sudah nyanyuk. Tapi mereka takkan boleh tutup mata rakyat (dari penyelewengan),” tegasnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan