Jumaat, 23 November 2012

KEADILAN akan ke Hong Kong semula untuk serah semua bukti

Oleh Aisha Geoffrey

PETALING JAYAr: Delegasi KEADILAN akan ke Hong Kong semula dua minggu lagi bagi menyerahkan semua bukti dokumen transaksi berkaitan kes rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.



Pengarah Strategi, Rafizi Ramli yang merupakan salah seorang anggota delegasi berkata, bukti-bukti berkenaaan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC).

Katanya, ia ekoran jaminan dari Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zervos dan James yang mengalu-alukan bukti baru untuk membuka semula siasatan ke atas kes itu.

“Sebelum ini kita rancang ke Hong Kong hanya untuk serah memorandum supaya pihak berkuasa dapat ‘review’ semula kes, tapi bila mereka kata siasatan boleh dibuka semula asalkan ada bukti mencukupi, kita akan kembali dalam dua minggu lagi,” jelasnya.

Rafizi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Selayang, Wiliam Leong dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian membuat sidang media itu di ibu pejabat parti di sini petang tadi sekembalinya mereka dari Hong Kong hari ini.



 Delegasi itu bertolak ke Hong Kong Rabu lalu.

Menurut Rafizi, beliau mempunyai bukti mencukupi termasuk dokumen transaksi kes rasuah melibatkan RM40 juta oleh Musa dan taikun balak, Michael Chia.

“Sebab itu kita perlukan dua minggu untuk menyusun semua bukti-bukti,” katanya.

Sebelum bertolak ke Hong Kong 21 November lalu, Rafizi membuat laporan berhubung kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita juga akan serah bukti nanti, jadi SPRM tidak ada alasan untuk tutup kes ini buat kali kedua,” katanya.

Sepanjang di Hong Kong, kes rasuah tersebut mendapat liputan akhbar dan televisyen di sana.

Delegasi terbabit juga membuat temuramah khas bersama Reutera-Bloomberg yang mengikuti perkembangan kes tersebut.

“Kes ini menarik minat antarabangsa dan kita yakin ia adalah skandal besar yang tidak boleh lagi dipadamkan Umno Barisan Nasional,” kata Rafizi.

Tiada ulasan: