Ahad, 18 November 2012

Mangsa Banjir Terharu Terima Bantuan Kerajaan Negeri




BANTING : Mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini melahirkan kegembiraan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Walaupun tanggungjawab memberi bantuan tersebut seharusnya diusahakan kerajaan persekutuan di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri namun setakat ini tiada usaha drustik dilakukan pihak terbabit.

Sehubungan itu kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak turun padang untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada mangsa banjir.

Salah seorang penduduk di Kampung RTB, Kartini Lamin, 47, merasakan sumbangan itu amat diperlukan untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga setelah berhadapan bencana banjir terburuk setakat ini.

Beliau yang memiliki seorang anak dan kakak kurang upaya (OKU) amat berterima kasih dan bersyukur di atas pemberian Kerajaan Negeri.

“Rumah saya mula dinaiki air secara mendadak pada 5 November lalu iaitu ketika pada waktu Subuh. Alhamdulillah, saya dapat selamatkan semua ahli keluarga, namun perabot dan peralatan elektrik musnah semuanya.

“Dengan bantuan sebegini, saya benar-benar bersyukur kerana dapat meringankan beban. Terima kasih Menteri Besar,” katanya gembira.

Berkongsi perasaan sama, Azhar Alias, 47, berkata, beliau terharu atas bantuan yang diberikan, malah katanya ia membuktikan Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Sudah hampir dua minggu saya menetap di pusat penempatan sementara ini dan hanya dibenarkan pulang dua hari lalu. Keadaan rumah memang sangat teruk. Tetapi, saya tetap bersyukur atas bantuan yang diberikan walaupun jumlahnya kecil, tetapi ia tetap meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Awal bulan ini menyaksikan sebilangan besar penduduk di daerah Kuala Langat berdepan bencana banjir terburuk yang pernah dicatatkan sepanjang tahun.

Justeru itu, Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan sebayak RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan beban yang dihadapi.

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Bencana Daerah Kuala Langat kepada lebih 300 buah keluarga itu diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail serta Adun Teluk Datuk, Philip Tan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya melalui Jabatan Pengairan Selangor (JPS) akan memperbaiki ban-ban yang rosak serta membersihkan saliran serta parit tersumbat untuk melancarkan aliran air.

Semalam, Kerajaan Negeri memaklumkan akan memperuntukkan RM500 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Perkara ini bakal dibentangkan Menteri Besar pada sesi Dewan Undangan Negeri Selangor yang akan bermula esok.

Tiada ulasan: