SHAH ALAM – Kumpulan pemikir falsafah, cendikiawan dan pendidik akan lebih diberikan ruang dalam memperjelaskan bentuk pendidikan yang lebih mampan untuk diaplikasikan di dalam sistem pendidikan negara selepas Pakatan Rakyat (PR) berjaya mentadbir Putrajaya kelak.
Perkara ini ditegaskan oleh Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptama perasmian Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara bertempat di Universiti Selangor (Unisel).
Menurut Anwar, dua golongan penting ini perlu diangkat kerana mereka merupakan tunjang penting dalam menyatakan keperluan pendidikan kepada pimpinan politik agar satu mekanisma terbaik dapat dilaksanakan.
“Pandangan falsafah dituntut agar pemikir dan pendidik yang mampu memberikan nasihat (pendidikan) kepada orang politik. Itu yang akan kita lakukan,” katanya.
Menurut Anwar, usaha pendidikan ini perlu dijelaskan dan menjadikan teras akidah agama yang kukuh sebagai prinsip utama dalam usaha pembentukan sahsiah.
Katanya lagi, pandangan semua pihak dari pelbagai kaum dan sudut perlu didengar agar setiap tuntutan yang dibangkitkan dapat difahami dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.
Jelasnya lagi, budaya forum dan perbincangan mengenai hal ehwal semasa yang mendatangkan manfaat terutamanya mengenai kupasan dunia luar perlu disuburkan kembali terutama di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Unisel dan Yayasan Selangor perlu buat banyak wacana dalam mengangkat budaya ilmu,” ujar Anwar lagi.
Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara anjuran Yayasan Selangor bertemakan ‘Mereformasikan Pendidikan Negara’.
Turut hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki, Naib Canselor Unisel, Professor Dr Anuar Ahmad, Exco Selangor Dr Xavier Jeyakumar serta tiga wakil deligasi Syria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan