Isnin, 24 September 2012

Program Keagamaan Di Selangor Rancak Bawah PR




SHAH ALAM : Di bawah Pakatan Rakyat(PR) program-program keagamaan dilihat bertambah rancak di Selangor.

Lebih membanggakan ia semakin mendapat sambutan masyarakat umum, khususnya golongan muda secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Kejayaan tersebut disifatkan berpunca dari hasil pendekatan dan kerjasama erat antara golongan agamawan dan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Demikian menurut Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin dalam satu wawancara eksklusif dengan TV Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah baru-baru ini.

“Ada kalangan penceramah kita hari ini berjaya menarik golongan anak muda dan pengalaman saya sendiri di masjid ini dengan adanya ‘ustaz ikon’ sebegini kita tengok program kita sudah ada 50/50 atau pun 40/60 peratus sebahagiannya adalah orang muda.

“Ini adalah tanggungjawab besar yang berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan kita berharap dapat diteruskan, bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi di peringkat kecil-kecilan di daerah-daerah,” kata beliau.

Pada masa ini, selain memperbanyak program keagamaan, Kerajaan Negeri turut  menggunakan pendekatan dengan menyelitkan ikon di kalangan tokoh agama terkenal  dalam program-program yang dianggap mampu menarik kehadiran golongan muda.

Antaranya penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Don Daniyal yang pernah dijemput mengadakan ceramah agama dalam program sambutan ambang tahun baru, Sambutan Hari Belia Selangor, Konvoi ke Masjid dan lain-lain.

“Mungkin pendekatan kita yang lama dahulu kita tidak lihat penerimaan mereka dan mereka mungkin rasa ceramah agama ini hanya untuk orang tua-tua sahaja.

“Apabila turunnya penceramah kita di padang, stadium dan tempat-tempat yang disukai orang muda, akhirnya menarik hati orang muda ini dan akhirnya mereka turun pula ke masjid dan surau.

“Bagi saya ini adalah kejayaan yang baik dan berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” kata Ahmad lagi.

Ahmad juga menjelaskan, berbeza dari dahulu, program yang dijalankan di masjid juga bertambah dengan pelbagai kelas agama dan mendapat sambutan positif dari masyarakat Islam Selangor.

“Kita dapat tengok masjid mengadakan kuliah keagamaan pelbagai waktu, bukan sekadar kalau dahulu kuliah cuma diadakan selepas Maghrib atau selepas Subuh tetapi sekarang pada waktu pagi sudah bermula seperti Kuliah Duha yang dahulu kita tak pernah dengar sekarang dah ada dan juga kelas selepas waktu Asar.

“Kalau hari Sabtu dan Ahad kuliah diadakan dari pagi hinggalah ke malam,” ujar beliau lagi.

Menurut Ahmad, pernah dalam sebuah program yang diadakan pada waktu Subuh di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum ini, mencatatkan kehadiran orang ramai yang menyamai kehadiran solat Jumaat di masjid sama.

Tiada ulasan: