KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Pembinaan Menara Warisan Merdeka oleh Kerajaan Pusat bakal mengundang nasib serupa sebagaimana projek National Feedlot Corporation (NFC), LRT dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dan lain-lain projek yang didapati berlaku penyelewengan oleh pimpinan Umno BN.
Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan laporan penuh berhubung peningkatan kos berikutan ketinggian menara itu kini ditambah kepada 600 meter berbanding 509 meter ketinggian asal pada permulaan projek ini.
“Kalau dulu kos menara ini RM5 bilion, bermakna kalau ditambah lagi (ketinggiannya), sudah tentu kos tersebut akan meningkat naik dan Najib perlu dedahkan perkara ini.
“Projek bangunan ini pernah dibawa ke sidang Parlimen, kemudian ia disenyapkan dan tiada susulan dibuat selepas itu. Tapi malangnya apa yang berlaku sekarang, malah peningkatan kos juga tidak diumumkan, ” katanya ketika dihubungi.
Projek untuk kayakan kroni
Zuraida tidak menolak bangunan pencakar langit tersebut antara projek gajah putih Umno bertujuan mengkayakan kroni mereka.
“Ini yang menimbulkan keraguan, melihatkan spekulasi yang berlaku sekarang, pastinya ada penyelewengan.
“Projek itu pasti kroni mereka akan bolot, kosnya tentu berlipat kali ganda. Kenapa perlu bina bangunan yang begitu mahal?” soal Ahli Parlimen Ampang itu lagi.
Sebagai pemimpin, kata Zuraida, beliau tidak mahu Menara Warisan dijadikan ‘bank’ untuk Umno mengaut keuntungan dari hasil rakyat.
“Umno tidak pernah takut untuk habiskan duit rakyat, mereka tak pernah ambil iktibar apa yang berlaku dalam projek NFC, LRT, KTMB dan lain-lain lagi.
“Umno perlu sedar bahawa rakyat sedang memerhatikan anda. Jalan bagi menyelesaikan sikap boros Umno ini pastinya ketika Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” katanya.
Projek di bawah pengurusan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu mengesahkan, penambahan ketinggian bangunan itu yang memungkinkannya menjadi bangunan ketiga tertinggi di dunia dengan kos RM5 bilion diumumkan Najib dalam Belanjawan 2010.
Pengumuman itu mencetuskan tentangan, namun Najib tegas mempertahankan kononnya projek itu bukan pembaziran dan mempunyai kesan ‘baik’ ke atas ekonomi.
Dalam pada itu, Aktivis Warisan Negara, Teoh Chee Keong mendakwa, Menara Warisan akan ditambah daripada 102 kepada 120 tingkat.
Dengan ketinggian 600 meter, Menara Warisan hanya ketinggalan di belakang Burj Khalifa UAE (828 meter) dan Royal Clock Tower Hotel (601 meter) di Arab Saudi.
Ia juga bakal melangkaui ketinggian 501 meter Taipei 101 – pencakar langit tertinggi antara 2004 sehingga 2010.
Projek yang dibina bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara dan dijangka siap pada 2015 itu bakal melebihi bangunan tertinggi negara sekarang iaitu Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.
Rakyat bantah
Tinjauan Merdeka Center dalam kaji selidiknya terhadap pendapat pengundi Semenanjung Malaysia bagi suku keempat tahun 2010 mendapati, hampir 2/3 rakyat Malaysia membantah pembinaan bangunan itu.
Kaji selidik itu merangkumi 1,005 orang yang merupakan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia, menyaksikan 65 peratus responden membantah cadangan tersebut.
Masyarakat Cina adalah yang paling ramai membantah pembinaan menara tersebut (65 peratus) diikuti dengan Melayu (60 peratus) dan India (58 peratus).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan