Selasa, 4 September 2012

Lagi Dituduh Anti-Melayu Lagi Ramai Melayu Sertai DAP

 
KELAB GREENBOC

Johor Bharu - Sepasang suami isteri yang memiliki latar belakang akademik tinggi mengambil keputusan menyertai DAP bagi membuktikan parti berkenaan adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi bersama isterinya, Norhayati Yusof memilih parti itu untuk menjelaskan bahawa DAP bukanlah untuk bukan Melayu sahaja.

Mohamad Tajuddin berkata, serangan segelintir pihak terhadap DAP kononnya parti itu anti-Melayu dan anti-Islam mahu ditanganinya secara ilmiah.

“Saya tidak terlalu minat bidang politik dan orang parti. Cuma saya agak kurang senang terhadap serangan segelintir pihak kepada rakan-rakan bukan Melayu khususnya dalam DAP bahawa mereka anti-Melayu dan anti-Islam.

“Sebagai seorang ahli akademik, saya mahu perkara ini diperbetulkan dan saya mahu menjadi ‘jambatan’ antara orang Melayu dan bukan Melayu seterusnya mengajak bersama menyertai DAP,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Bilik Gerakan DAP Dewan Undangan Negeri (Dun) Stulang di Taman Maju Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.
Tajuddin berkata, penyertaan dalam DAP sebagai ahli biasa membuktikannya percaya kepada kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) termasuklah parti komponen lain iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya juga hormat satu atau dua pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana mereka orang yang bertanggungjawab.

“Akan tetapi, saya memilih untuk menyertai DAP. Tambahan pula, saya kenal dengan rapat Dr Boo selama beberapa tahun malah percaya dengan kepimpinan beliau,” katanya.

Sementara itu, Norhayati yang merupakan bekas guru berkata, penyertaan dalam DAP dengan mengikut jejak suami merupakan percubaan baru dalam kehidupannya.

“Sebab saya masuk DAP adalah kerana saya mahu memberitahu kepada rakyat bahawa DAP bukanlah parti untuk bangsa Cina dan India sahaja, sebaliknya untuk semua.

“Ini kerana kebanyakan masyarakat mempunyai persepsi DAP adalah untuk bukan Melayu sahaja. Oleh itu, menerusi penyertaan ini, saya mahu rakyat Malaysia buka hati dan minda untuk menerima DAP,” katanya. -SH

Ulasan GB

Tepat pemerhatian GB sebelum ini. Sewaktu mengulas penyertaan dua orang kanan Najib ke dalam UMNO, Sakmongkol dan Aspan Alias, GB menyatakan:

Begitulah hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Pemimpin UMNO dan media massanya menyerang DAP bertubi-tubi, tanpa disedari, natijah dari serangan itu, dua blogger hebatnya kini menyertai DAP.

Melopong UMNO kali ini, apa tidaknya, Sakmongkol AK47 (Mohd Ariff Sabri Aziz) adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada 2008 dan juga ketua penerangan bahagian Pekan yang merupakan kawasan Datuk Seri Najinb Tun Razak.

Aspan Alias pula seorang veteran Umno Negeri Sembilan yang tajam penanya, lantang mengkritik pentadbiran pemerintah sejak beberapa tahun lalu.

Lagi kuat UMNO hentam DAP, lagi ramai ahli UMNO sendiri yang akan sertai DAP. Jangan main-main dengan hukum kebenaran dan keadilan.

Tiada ulasan: