Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman berkata, pemilihan calon boleh menang dan kerap ‘turun padang’ membantu masyarakat dilihat membolehkan Pas mengekalkan tampuk pemerintahan di kawasan terkenal dengan jolokan Bandar Anggerik itu.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi jaminan bahawa penyandang wakil rakyat, Khalid Abdul Samad akan dikekalkan di kerusi panas itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), memandangkan keputusan dibuat oleh Pas Pusat.
“Nama Khalid antara yang ‘top’ dan kemungkinan beliau akan dikekalkan di kerusi ini, tetapi ia belum dimuktamadkan lagi kerana keputusan siapa yang akan bertanding dalam PRU13 akan ditentukan oleh Pas Pusat. Siapa (calon) yang naik atau diturunkan akan kita ketahui pada masa sesuai.
“Selain Khalid, kita ada dua lagi calon yang terdiri muka lama dan baru yang dicadangkan untuk bertanding di kerusi ini, tetapi tidak boleh didedahkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas berhubung calon Pas yang akan bertanding untuk Parlimen Shah Alam pada PRU13 nanti.
Abdul Rani berharap, lebih ramai calon terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, jurutera atau pensyarah diketengahkan sebagai calon PRU13, asalkan mereka rajin turun padang mendekati pengundi.
“Kita bekerja untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), jadi, sesiapa yang diputuskan menjadi calon, tiada masalah,” katanya.
Menurutnya, kriteria pemilihan calon yang layak itu penting terutama dari segi pendidikan untuk menjatuhkan pihak lawan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pas telah pun memperkenalkan calon muka barunya yang terpilih menerusi program Semarak Hijau yang dijalankan ketika mendekati masyarakat di semua kawasan terlibat, sejak Februari lalu.
“Kita sudah mempromosikan calon dalam ceramah yang kita anjurkan dan program mendekati rakyat dari rumah ke rumah supaya mereka dan pengundi di kawasan masing-masing kenal antara satu sama lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan