Majoriti umat Islam seluruh dunia bangkit membantah filem 'Innocence of Muslims' terbitan karyawan seni Amerika Syarikat, yang menghina Nabi Muhammad s.a.w.
Kebangkitan serentak di seluruh dunia itu, memberi signal yang jelas kepada Barat, bahawa mereka tidak sewenang-wenangnya boleh mencemar dan menghina agama Islam.
Kebangkitan yang sekata tersebut adalah manifestasi daripada kecintaan umat Islam terhadap Rasul mereka, kemuliaan ad-din yang dianuti dan kesucian agama Islam yang diimani majorti penduduk dunia.
Kebangkitan yang menggegarkan dunia ini amat menggerunkan Barat. Amerika khususnya, terpaksa berusaha untuk membaiki hubungan dengan umat Islam dan menafikan pembabitan mereka dalam filem tersebut.
Umat Islam di Malaysia juga bangkit. PAS, KeADILan dan DAP, mewakili Pakatan Rakyat lebih awal, mengeluarkan amaran keras ke atas Amerika dan sekutu mereka.
Jumaat lepas, PAS yang diterajui Pemudanya, menganjurkan Perhimpunan besar-besaran, berarak dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Amerika, bagi menyatakan bantahan terhadap kebiadaban filem mereka.
Tiada suara yang dilaungkan, selain membesarkan Allah dengan lafaz 'Allahu Akbar'. Tiada kecintaaan yang diluahkan, melainkan dengan ungkapan 'Salallahu 'ala Muhammad, salallahu 'alaihi wasallam'.
Dalam perhimpunan itu juga, tiada kata nista yang dilemparkan, kecuali melemparkan kecaman terhadap kedangkalan Amerika dan sekutunya, Israel. Tiada amaran dilaungkan, melainkan kepada Perancis dan rakan-rakan Eropah yang berani membuat karikatur, menghina Nabi Muhammad s.a.w.
Malangnya, dalam masa yang sama 21 September lepas, Pergerakan Pemuda BN, menganjur di Masjid Kampung Baru bagi tujuan membantah filem 'Innocence of Muslims'.
Malang bukan kerana niat Pemuda Umno-BN tidak baik, tetapi perhimpunan mereka gagal untuk menzahirkan kecintaan mereka terhadap Nabi s.a.w. Perhimpunan mereka gagal untuk mengutuk pembikin filem yang biadap tersebut.
Sebaliknya ia menjadi pentas membelasah pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh serta Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Sepatutnya perhimpunan itu dikhususkan untuk mengecam kedurjanaan Amerika dan sekutunya, bukan menghamburkan fitnah yang hanya mengundang perbalahan politik dalaman negara.
Perhimpunan anjuran Pemuda Umno, jika dibandingkan dengan Pemuda PAS, ibarat di antara langit dengan bumi. Hanya dengan kira-kira 500 peserta sahaja yang mengikuti perhimpunan hambar itu, berbanding dengan puluhan ribu di Jalan Tun Razak.
Perhimpunan anjuran Khairy Jamaluddin Abu Bakar, akhirnya menjadi pentas politik, mengecam Pakatan Rakyat.
Mereka bukannya hendak melindungi martabat agama dan kemuliaan Nabi s.a.w, sebaliknya mengambil peluang memaki hamun Pakatan Rakyat.
Pemuda Umno jelas mencemari semangat serta kemurniaan agama dengan membariskan 'pelacur-pelacur' politik seperti Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Dato' Ibrahim Ali, Lokman Nor Adam dan Zahid Mat Arip.
Tiada yang baik keluar dari mulut mereka, selain mencaci maki PAS, KeADILan dan DAP. Tiada zikir yang terhambur dari lidah mereka, selain menghina nista Tuan Guru Nik Aziz, Anwar dan Karpal.
Inilah manifestasi dari kebuntuan akidah dan perjuangan terpesong Umno-BN. Menganjurkan demonstrasi bukan kerana kesedaran, tetapi kerana mahu 'menangguk di air yang keruh'. Mereka bukannya mahu menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w, sebaliknya mempergunakan forum agama untuk menyebarkan politik sempit lagi rasis.
Ayuh rakyat, kita bangkit tumbangkan Umno-BN serta menghapuskan pelacur politik dari negara yang tercinta ini.-harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan