Jumaat, 14 September 2012

Bayi maut tercampak dari kenderaan

Wartawan Sinar Harian
Bayi maut tercampak dari kenderaan
Proton Wira yang merempuh pacuan empat roda berkenaan sebelum terbabas ke bahu jalan melanggar tembok batu
 
KUALA SELANGOR - Seorang bayi maut tercampak keluar kenderaan yang dipandu ibu saudaranya apabila dirempuh sebuah kereta Wira ketika membuat pusingan U di Kilometer 68 Jalan Teluk Intan Klang, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad, berkata, akibat rempuhan kira-kira jam 9.30 malam itu, pemandu berusia 23 tahun itu gagal kawal Perodua Kembara yang dinaiki lima sekeluarga itu terbalik menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar kenderaan.

"Mangsa, Ariana Insyirah Mirul Hisham, 1, parah di kepala dan maut serta merta di tempat kejadian," katanya.

Manakala datuk, nenek dan dua ibu saudara mangsa yang menaiki kenderaan sama mengalami luka ringan dan menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama nenek dan datuknya memandangkan ibunya perlu menghadiri kursus di Ipoh manakala ayahnya bekerja di Seremban.

Sementara itu, menurut Mushar, dalam kejadian itu, Proton Wira yang dipandu seorang lelaki turut terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh tembok batu di kiri jalan berkenaan.

"Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan dan membuat laporan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, laporan awal yang diperolehi menerusi siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu berlaku disebabkan kecuaian pemandu membuat pusingan U.

"Setiap pemandu perlu berhati-hati membuat pusingan U dan tindakan keluar terburuburu hanya bawa bahaya kepada pengguna jalan raya lain dan diri sendiri," katanya.

Tiada ulasan: