Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Peserta Bersih 3.0, Chong Min Shih, 37, memberitahu, beliau pitam akibat terkena tembakan rambang kanister gas pemedih mata di leher pada 28 April lalu.
Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa beliau sedang berarak dari Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan tiba di Jalan Tun Perak lebih kurang jam 3.00 petang.
Di situ beliau melihat satu objek terbang ke arah peserta.
“Orang ramai menjerit ‘tepi semua!’. Serta merta saya terasa sakit di leher dan terjatuh ke atas jalan,” kata Chong.
“Saya tak ada kekuatan untuk bangun. Saya hanya sedar bila ada orang tolong angkat saya ke tepi jalan dan bersihkan luka,” jelasnya.
Chong memberi keterangan depan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhan Jaya Hak Asasi Manusia(Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Beliau merupakan saksi pertama pada sidang kedua siasatan awam Bersih 3.0 hari ini selepas tiga saksi memberi keterangan pada 6 Julai lalu.
Kecederaan itu meninggalkan kesan parut akibat luka di lehernya yang hanya sembuh selepas sebulan.
Pihak polis yang hadir sebagai pemerhati turut bertanya mengapa Chong tidak membuat laporan polis sejurus selepas kejadian itu.
“Saya tidak percaya polis waktu itu, sebab itu saya tak buat laporan polis, dan hanya buat laporan beberapa hari selepas kejadian atas nasihat kawan-kawan,” katanya lagi.
Turut dipanggil sebagai pemerhati wakil dari Majlis Peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan