Khamis, 12 Julai 2012

Peserta Bersih 3.0 dakwa dipukul polis

NORHASPIDA YATIM

KDN tangguh siar video Bersih 3.0
Perhimpunan Bersih 3.0 
 
 
KUALA LUMPUR - Salah seorang peserta perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu mendakwa dia dipukul oleh lapan hingga 10 anggota polis serta beberapa barangan peribadi miliknya turut 'dirampas'.

Mangsa, Arshad Abas, 32, yang hadir sebagai saksi pada sesi kedua Pendengaran Panel Bebas Bersih 3.0 turut mendakwa bahawa akibat insiden itu, beliau menerima lima jahitan di bahagian atas kening dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, barangan peribadi miliknya yang hilang ketika kejadian dia dipukul anggota polis itu ialah Samsung Galaxy Tab 7.0, telefon bimbit, 'pen drive', 'bluetooth headseat' dan jam tangan.

"Kejadian berlaku di (kawasan) Masjid India kira-kira jam 5.30 petang, saya sedang dalam perjalanan pulang untuk bersurai daripada perhimpunan.

"Tiba-tiba sekumpulan polis datang dan suruh saya tanggalkan kemeja-T Bersih 3.0, tetapi, belum sempat saya tanggal baju saya telah dipukul.

"Saya cuba merayu, malangnya polis lain yang berada sekitar kawasan itu turut datang untuk memukul saya, saya berada dalam keadaan lemah dan sudah tidak mampu untuk membuat sebarang tindakan," katanya pada inkuiri di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), hari ini.

Menurutnya, pihak polis yang memukulnya juga menuduh dia sebagai orang suruhan atau barua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwanya lagi, selepas kejadian, beliau diheret oleh anggota polis menuju ke Dataran Merdeka, berkumpul bersama tahanan lain sebelum dibawa ke pulapol dengan menaiki Black Maria.

Inkuiri yang bermula jam 9.30 pagi ini memanggil tiga saksi dan diketuai oleh Naib Presiden Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dibantu Pesuruhjaya Suhakam, Prof Dr Mahmood Zuhdi dan Detta Samen.

Inkuiri pertama telah berlangsung pada 5 Julai lalu yang juga memanggil seramai tiga saksi.

Sepanjang inkuiri ini dijalankan, seramai 27 saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan: