Sabtu, 14 Julai 2012

Kronisme masih kukuh dalam urus kelola negara

Mohd Azmi Abdul Hamid,
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendapati budaya kronisme dalam pentadbiran negara maseh kukuh malah mendapat rangsangan kuat dari pemimpin dan bekas pemimpin negara.
Bermula dari kes tender secara rundingan terus sehingga kes anugerah kepada syarikat tanpa ketelusan dan tanpa tender terbuka. Negara ini jelas mengabsahkan amalan kronisme yang sangat ketara.

Walaupun jelas ia bertentangan dengan prosidur yang piawai dalam meluluskan tender, namun untuk menjamin rakan kroni mendapat tender tersebut walaupun harga yang ditawar jauh lebih tinggi dari syarikat yang lain dalam tender terbuka.

Teras berani mengatakan tidak ada kontraktor dalam kelas apa sekalipun di negara ini yang dapat menafikan betapa proses pemberian tender sarat dengan amalan kronisme dan rasuah.

Dengan sebab itu negara dan rakyat menanggung segala beban kos yang terpaksa dibiaya kerana kos di sebalik dokumen resmi adalah jauh lebih tinggi.


Oleh kerana itu Teras mendapati faktor utama kenapa sesuatu projek menjadi terlalu mahal adalah kerana sistem kronisme dan rasuah menjadi sangat lazim di negara ini.

Lebih malang lagi tender diberi kepada sebuah syarikat yang mengenepikan syarikat kerajaan yang strategik. Padahal hal syarikat itu sepatutnya lebih diuutamakan kerana ia mempunyai kepentingan negara.

Teras kesal dengan kes pemberian pembekalan minyak untuk MAS kepada syarikat Petron yang dikaitkan dengan anak bekas PM yang juga dikaitkan dengan pembelian sebuah perusahaan arak San Maguel.

Tun Mahathir sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan kepentingan Petronas mendahului segala kepentingan kerana ia adalah aset negara. Ini bukan kali pertama beliau melakukan penyalahgunaan pengaruhnya untuk memastikan anaknya mendapat tender besar untuk syarikat peribadi.

Kerajaan perlu jelaskan kenapa syarikat penting milik negara Petronas dan MAS harus ditundukkan kepada kehendak sebuah syarikat peribadi yang boleh menjejaskan kepentingan kedua dua syarikat strategik kerajaan.

Terlalu banyak perundingan urusniaga di negara ini yang  mengutamakan kroni lebih dari kepentingan negara. Apakah negara ini akan terus diurus kelola dengan cara sumber negara difaraid sesama kroni yang tidak mempunyai agenda lebih utama dari mengaut keuntungan paling lumayan?

Sudah sampai masanya suatu rombakan besar besaran dilakukan ke atas dasar penganugerahan tender terutama dalam sektor yang mempunyai kepentingan negara dan rakyat.

Penulis ialah Presiden Teras.

Tiada ulasan: