Sabtu, 7 Julai 2012

Kisah Pakcik (Dr. Mahathir) pulang ke Masjid

Oleh zaminc
 
Anda pernah lihat gambar ini?



Atau gambar ini?



dan ada beberapa lagi gambar lainnya, Dr Mahathir dalam aksi beramal yang pelbagai.

Entah kenapa, makin banyak pula gambar-gambar sebegini muncul.

Kalau menurut penulis Harakah, Ruhi Hayati Thani ini adalah sebahagian dari Mahathirisme dalam kempen memuja Dr. Mahathir. Kita tidak akan mencela sikap Dr Mahathir yang ingin membaca Yaasin itu, bersolat tahajud dan solat tasbih lama-lama sekali pun, kerana hal amalan itu hanya menyangkut amalan peribadinya kepada Tuhan.

Tetapi jangan hendaknya orang-orang Umno, Dr Mahathir berfikir bahawa amalan salih yang mereka laksanakan itu akan menjadi batu penghadang kepada api neraka. Penulis Harakah itu kemudiannya memberikan contoh
cerpen Awamil Sarkam, iaitu 'Pakcik saya pulang ke masjid.'

Ada apa dengan cerpen itu sehingga boleh disamakan dengan perbuatan Dr Mahathir itu?

Secara umumnya cerpen itu berkisar mengenai Pak Cik Bakaruddin yang telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan balik ke kampung tempat dia dilahirkan.

Beliau dihormati kerana umurnya dan kerana telah menyandang jawatan tinggi dalam jabatan kerajaan. Lantas disebut, dia terus dihormati walaupun tidak berbuat apa jua jasa kepada orang lain.

Sepanjang masa dia di masjid membaca al-Quran atau kitab-kitab agama selepas atau sebelum sembahyang. Hampir keseluruhan tempoh bersara dua tahun itu dia tertumpu ke masjid dan tidak mengendahkan hal orang-orang kelilingnya. Pelbagai pertubuhan kebajikan meminta nasihat dan bantuan tetapi tiap kali dia menepis permintaan mereka.

Syahdan, pada suatu hari seorang anak saudara yang disayanginya datang ke rumahnya dan memberanikan diri bertanya:

Ketika itu Pak Cik Bakaruddin baru selesai makan tengah hari dan sedang menghisap curut Manila di beranda rumahnya. Anak saudara kemudian bertanya kenapa dia hampir sepenuh masa berada di masjid.

Lalu Pak Cik Bakaruddin bercerita betapa semasa menjadi pegawai kerajaan dia tidak ada masa untuk beramal ibadat kerana terlalu sibuk dengan kerja dan berdamping dengan rakan-rakan yang kaya dan pegawai-pegawai sekerja. Dia menyandang jawatan tinggi dan berkuasa, yang digunakannya untuk menipu orang lain.

Sejak itu, menurutnya wanita, wang dan minuman arak berupa keperluan hidupnya. Dia dan rakan-rakan pergi ke pelbagai kelab dan hotel untuk berseronok.

Selanjutnya disebut betapa orang memberi pinjaman wang kepadanya tetapi dia tidak pula membayar balik kerana yang meminjam tidak berani meminta. Demikian juga halnya dengan pelbagai wanita yang datang meminta pertolongan.

Segala-galanya mudah kerana statusnya yang tinggi dan mendapat perhatian pihak-pihak lain.

Malah dalam satu dialog yang menarik pakcik Bakaruddin berkata' “Tetapi aku hairan,” katanya, “mengapa masyarakat masih tetap menghormati dan memuliakan aku dan orang-orang yang serupa aku. Pada hakikatnya aku dan manusia yang semacamku sudah boleh disebut syaitan yang bersarung manusia. 

Ketika hampir masa bersara, barulah dia insaf. Semakin tua seseorang itu semakin takut dia akan mati, katanya. Kerana itulah kemudiannya dia beramal ibadat untuk menebus dosanya.

Lalu dia berulang-alik ke masjid yang dianggap tempat paling damai, tenteram sekali. Dia juga menyatakan rasa kesal kerana mengambil masa begitu lama untuk kembali ke masjid dan menghadapi Tuhan.

Si anak saudara ketika kembali ke rumah terfikir apakah begitu mudah pak cik menebus dosanya?
Dalam ingatannya ialah pesanan seorang ustaz bahawa tidak memadai memohon ampun dan maaf daripada Tuhan saja setelah mengingkari pelbagai larangan. Kerana, kalau berdosa kepada manusia lain, maka mereka juga perlu dimohon maaf.

Si anak saudara juga terkenang. Pak cik saya hanya sembahyang di masjid tetapi tidak mengendahkan orang yang telah dikhianatinya dulu. Apakah begitu mudah pak cik menebus segala dosanya?
Tiada jawapan kepada pertanyaan itu dan dia berasa gundah dan takut.

Dosa kepada Tuhan, InsyaAllah akan terhapus jika meminta ampun dengan penuh khusyuk dan tawadu', namun dosa kezaliman pemerintahan terhadap manusia hanya akan terampun jika manusia tersebut memaafkannya.

Bersediakah Dr Mahathir memohon maaf dan bersediakah mereka yang dizalimi memaafkan beliau?

Tiada ulasan: