Atlet Nik Norzilawatie Nik Wil menjadi wirawati bagi kontinjen Kelantan apabila meraih dua emas menerusi acara 3,000m lari berhalangan dan 800m.
Manakala atlet lelaki Mohamed Baihaqi Razlan menguasai acara 400m lari berpagar dan Nik Hafiz Nik Mohamad dalam acara 800m.
Semalam, pingat emas pertama Kelantan diperolehi menerusi Muhammad Khairil Harith Harun dalam acara 10,000m.
Ketua jurulatih Kelantan Mohmood Deraman bagaimanapun percaya anak didiknya mampu menambah kilauan emas pada hari penutup acara olahraga esok.
Beliau berkata kebangkitan skuad Kelantan tersebut adalah hasil usaha gigih semua atlet yang menjalankan latihan sejak awal tahun ini serta berdisiplin dan bersemangat kental.
Katanya skuad olahraga negeri itu telah mencapai sasaran lima butir emas pada temasya sukan kali ini.
Kelantan, yang menghuni tangga ke-14 semalam, naik dua anak tangga untuk menduduki tangga ke-12 dalam senarai pungutan pingat dengan lima emas, tiga perak dan tujuh gangsa.
Bagaimanapun, Terengganu bangkit untuk memberi saingan sengit kepada pendahulu Selangor apabila terikat 39 emas untuk menduduki tangga kedua.
Selangor hanya berjaya mengutip tiga pingat emas menerusi perenang wanita Kok Cher Ling dalam acara 50m gaya bebas, Hay Cheng Feng dalam acara memanah compound 90m lelaki dan pasukan menembak wanita dalam acara 25m pistol.
Selangor mendahului kutipan pingat keseluruhan dengan 39 pingat emas, 37 perak dan 41 gangsa.
Pahang turun satu anak tangga dengan kutipan 28 pingat emas, 29 perak dan 18 gangsa dan Brunei masih tercorot dalam kedudukan pungutan pingat dengan sebutir gangsa. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan