Isnin, 2 Julai 2012

Bagaimana seharusnya menanggapi "Indeks Penyelidikan"?

 Zhu Jingyi, He Chenhong, Mou Zhongyuan, Sun Yihan


Nota penterjemah: Gejala penarafan universiti (university ranking) semakin menghantui warga akademik institut pengajian tinggi di Malaysia kebelakangan ini, terutamanya empat buah universiti awam yang dinobatkan sebagai universiti penyelidikan (RU).  Demi mengejar apa yang dikatakan kecemerlangan akademik, staf akademik disasar menerbitkan makalah dalam terbitan CIJ (Citation Indexed Journal) ataupun jurnal yang tersenarai dalam ISI Web of Science/Scopus kononnya ia memberi Impact Factor (IF) / Research Perfomance Index (RPI) yang tinggi tanpa memikirkan gerhana yang lebih besar ke atas etika penyelidikan serta tujuan hakiki penyelidikan itu sendiri.

Berikut disajikan terjemahan kenyataan terbuka Ketua Majlis Sains Negara, Taiwan, dalam akhbar China Times pada 25 Jun 2012 berkaitan isu yang sama.  Sama-sama kita renungi apakah tidak pengalaman teman kita di seberang sana bisa dijadikan iktibar dan peringatan?


Beberapa tahun kebelakangan, pelbagai anugerah individu dan penilaian ke atas penarafan universiti di dalam negara rata-rata tidak terlepas daripada beberapa Indeks Penyelidikan.  Indikator-indikator tersebut ada yang secara kasar ada juga secara terperinci.  Indikator secara kasar hanyalah dilakukan melalui pengkategorian terbitan jurnal.  Umpamanya jurnal yang termasuk dalam senarai SCI (Science Citation Index) tergolong dalam satu kategori manakala yang tak termasuk dalam senarai SCI digolongkan dalam kategori lain.  Indikator secara rinci pula adalah memperkasakan kewibawaan sesuatu jurnal SCI dengan memberikan Impact Factor (IF), malah purata nilai Impact Factor tersebut dikira dengan formula tertentu dan kemudian diberikan nama RPI (Research Performance Index).

Pelaksanaan sistem Indeks Penyelidikan sangat berleluasa dalam lingkungan akademik di Taiwan.  Namun, masih terdapat pelbagai suara bantahan daripada kalangan akademia sendiri.  Ada pendapat menyatakan bahawa universiti yang benar-benar terulung seperti Harvard University dan Stamford University, tidak pernah dimaklumi bahawa IF dan RPI digunakan bagi mengukur keupayaan seseorang pensyarah.  Begitupun, ada pandangan mengatakan pelbagai Indeks Penyelidikan akan menginduksi dan menyasarkan matlamat kumpulan penyelidik bekerja semata-mata untuk mengejar indeks dan bukannya kecemerlangan akademik.  Selain itu, disebabkan kriteria penilaian Majlis Sains Negara (National Science Council) lazim digunapakai oleh universiti-universiti dalam proses pengukuran kenaikan pangkat maupun penganugerahan, oleh demikian reka bentuk dan penstrukturan mana-mana indeks dan sistem penilaian harus mengambil kira pelbagai kesan berlarutan (consequence).

Di sini, kami ingin mengemukakan beberapa pandangan dan persepsi tentang Indeks Penyelidikan seperti berikut.  Pandangan dan persepsi kami barangkali tidak semuanya tepat, namun kami percaya ia mempunyai nilai panduan kepada teman-teman dan komuniti penyelidik:

1. Segala jenis indeks hanyalah sekadar alat, bukan matlamat akhir.  Penyelidikan ilmiah tidak lain tidak bukan adalah mencari kebenaran, menerobos amalan lazim mencipta inovasi, bersifat kritikal dalam penyampaian.  Kajian cemerlang seseorang penyelidik sudah tentu kadar citation ke atas hasil penyelidikannya tinggi, angka RPI meningkat dan IF tinggi.  Walaupun demikian, dalam penyelidikan ilmiah, kecemerlangan akademik seharusnya adalah sebab manakala indeks yang menyerlah adalah hasil.  Kita tidak boleh sesekali menterbalikkan kedudukan hasil dengan sebab, menjadikan mengejar Indeks Penyelidikan sebagai matlamat penyelidikan ilmiah.  Malahan mengejar Indeks Penyelidikan secara membuta-tuli, kadang-kala menyebabkan satu pasukan penyelidikan maupun penyelidik individu "menghantar makalah atau menyelidik semata-mata untuk meningkatkan indeks", sehingga dedikasi dan keupayaan diri mengejar kecemerlangan akademik luntur dan hilang.

2. Apakah sebenarnya fungsi Indeks Penyelidikan?  Indeks memanglah bukan matlamat penyelidikan, tetapi ini tidak bermakna ia tiada langsung fungsinya.  Contohnya, penyelidik muda (junior) masih tidak dapat memastikan setakat mana keupayaan diri.  Pada ketika inilah penyelidik senior lazimnya akan menggalakkan mereka mengirimkan makalah kepada jurnal yang ulung.  Dengan cara ini, selain dapat berinteraksi dengan penilai jurnal yang berimpak tinggi, pada masa yang sama dapatan kajian lebih mudah dikongsi bersama sarjana peringkat antarabangsa.  Justeru, kendatipun Indeks Penyelidikan sendiri bukanlah matlamat, tetapi ia sebetulnya mengumpulkan banyak informasi berkaitan kecemerlangan akademik.  Janganlah sesekali kita membawa tujuan tertentu lalu mentafsir, malah menyimpang dalam proses kita menangani informasi tersebut.  Tetapi, tidak perlu kita mengambil sikap "kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar" atau menolak mentah-mentah nilai informasi tersebut.

3. Di Taiwan, ramai teman akademia yang pernah mencanangkan Indeks Penyelidikan pada suatu ketika dahulu, menegaskan indeks tersebut mempunyai fungsi membezakan antara yang palsu dan asli.  Umpamanya, sesetengah penyelidik hanya mampu menerbitkan makalah kurang bermutu dalam jurnal kelas ketiga, tetapi sering cuba memutarbelit dengan mendakwa bahawa makalah yang diterbitkan dalam jurnal kelas tiga itu setara dengan makalah dalam jurnal berimpak tinggi.  Berikutan dengan itu, lingkungan akademia pun meluahkan suara bantahan agar mewujudkan Indeks Penyelidikan yang objektif bagi melawan dakwaan yang mengelirukan itu.  Menurut apa yang kami fahami, bidang-bidang tertentu di Taiwan yang memperkenalkan Indeks Penyelidikan sebelum ini semuanya mempunyai latar belakang melaksanakan amalan Indeks Penyelidikan bagi menolak langkah pemalsuan tersebut.

4. Kita fahami fungsi Indeks Penyelidikan dalam menolak gejala pemalsuan yang tersebut di atas, tetapi perlu ditegaskan ialah: Fungsi sebegini membawa makna pemeringkatan masa, bila tiba masanya maka perlulah ia diubah.  Kami berpendapat, kebanyakan bidang penyelidikan di Taiwan sudah maju dan kini memasuki tahap check and balance antara kuantiti dan kualiti.  Dan atas dasar inilah, kecenderungan yang terlalu lunak dengan pengukuran Indeks Penyelidikan dalam lingkungan akademia perlulah dibendung sewajarnya.

5. Barangkali teman-teman akademik akan risau jikalau presentasi indeks penyelidikan tidak diwajibkan, apakah tidak mungkin panel penilai akan kehilangan kriteria untuk mempertimbangkan sesuatu permohonan geran? Berkenaan perkara tersebut, kami menurunkan penerangan tambahan seperti berikut.  Pertama, Majlis Sains Negara tetap akan mengenalpasti penilai yang sesuai dan berkredibiliti.  Bagi penilai yang berkredibiliti, walaupun tidak dimaklumkan impact factor sesuatu jurnal, mustahil mereka tidak boleh membezakan antara jurnal yang baik dan kurang baik, begitu juga antara makalah yang baik dan kurang baik.

Kedua, mulai dari sekarang, penilaian bagi semua anugerah penting anjuran Majlis Sains Negara, ketua bahagian akademik akan diminta menyertakan surat iringan (cover letter) kepada panel penilai, menyatakan kriteria penilaian yang diharapkan daripada panel.

Ketiga, buat masa akan datang, bahagian akademik akan memantapkan fungsi penilai kedua.  Panel diminta membincang dan membahas dengan lebih mendalam dan terperinci untuk menggantikan kelemahan masa lalu yang terlalu memudahkan pengukuran tahap ilmiah berpandukan indeks yang bersifat mekanikal.

Keempat, dalam keadaan yang istimewa dan jarang-jarang diketemu, andaikata ketua bahagian akademik mendapati Indeks Penyelidikan bidang tertentu mempunyai nilai rujukan yang sangat tinggi, mereka dibenarkan menyaran kepada panel penilai.  Tetapi ia adalah penghakiman mereka dan ini bukanlah matlamat dan strategi tersalah tempat yang berlaku dalam kelaziman lingkungan akademik.

6. Apa yang dibincangkan di atas lebih cenderung kepada bidang sains, kejuruteraan, biologi dan sebagainya.  Penyelidikan di bidang ilmu kemanusiaan, sastera dan sains sosial mempunyai ciri-ciri kedaerahan yang ketara, cara penyampaiannya tidak terhad kepada makalah dalam jurnal.  Aplikasi dan keterbatasan penggunaan Indeks Penyelidikan dalam bidang ilmu kemanusiaan, sastera dan sains sosial, logik yang digunapakai juga agak berbeza.  Tentulah Majlis Sains Negara menghormati logika dan sifat-sifat kerencamannya.

Secara keseluruhannya, pengukuran Indeks Penyelidikan secara kurang anjal, mengakibatkan bidang-bidang tertentu dalam lingkungan akademik berlaku kelemahan penyeragaman (unification) dan normalisasi, gejala ini tidak menguntungkan usaha berinovasi apatah menerobosi amalan lazim.  Bermula dari bulan Julai tahun ini, kami berharap penilaian Majlis Sains Negara dapat menjangkau kekangan Indeks Penyelidikan, menuju ke suatu tahap yang benar-benar dapat meningkatkan kecemerlangan akademik.  Kenyataan terbuka ini mencerminkan keyakinan kami, juga membuka harapan untuk kita memburu kecemerlangan akademik di masa mendatang.

*Zhu Jingyi adalah Ketua Majlis Sains Negara Taiwan, manakala tiga yang lain adalah timbalan beliau. Diterjemah oleh Chong Fah Hing, Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.  Beliau juga menulis di ruangan pojok MerdekaReview edisi Bahasa Cina.

Tiada ulasan: