Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan berikutan gempa bumi berkekuatan 8.9 pada skala Richter di Aceh, setelah beberapa gempa susulan reda pada Rabu malam.
"BMKG secara rasmi menamatkan amaran awal tsunami," kata Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG Suhardjono di Jakarta pada 7.45 malam setelah mendapat pengesahan bahawa kejadian gempa bumi itu tidak menimbulkan tsunami.
Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan amaran awal tsunami kepada penduduk kawasan pantai di Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Lampung dan Bengkulu, berikutan gempa bumi kuat itu.
Bagaimanapun, gempa bumi itu didapati hanya menimbulkan tsunami setinggi 80 sentimeter di Meulaboh, daerah Aceh Barat dan 60 sentimeter di wilayah Sabang.
Meulaboh termasuk wilayah yang relatif dekat dengan perairan Pulau Simeulue, tempat berlakunya gempa bumi kuat itu.
Sementara itu, pakar gempa bumi dari Universiti Andalas (Unand) Padang Dr Badrul Kamal Mustafa turut mengesahkan berakhirnya potensi berlaku gelombang tsunami pasca gempa di Simeulue, Aceh.
Beliau berkata berdasarkan kiraan had waktu berlakunya gelombang tsunami, ia dijangka tiba di Padang pada 7.32 malam waktu tempatan.
Bagaimanapun, Dr Badrul Kamal berkata beliau amat bersyukur tsunami tidak berlaku.
Aceh digegarkan gempa bumi berkekuatan 8.9 pada skala Richter di 364 kilometer ke barat daya daerah Simeulue.
Thailand turut menarik balik amaran tsunami berikutan tiada ancaman berlaku tsunami di negara itu.
Amaran itu ditarik balik oleh Pusat Amaran Bencana Kebangsaan malam ini.
Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata walaupun amaran itu ditarik balik namun negaranya masih berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana kemungkinan berlaku gegaran susulan.
Katanya keadaan paras ombak meningkat juga dilaporkan di Laut Andaman di luar pesisiran Thailand.
"Kami akan terus memantau keadaan untuk beberapa jam lagi," katanya.
Terdahulu, Yingluck mengadakan mesyuarat tergempar Kabinet di Rumah Kerajaan di Bangkok dengan menggerakkan pelan kecemasaan tsunami.
Sebelum itu perintah berpindah ke kawasan lebih tinggi dikeluarkan di enam wilayah selatan negara itu iaitu Krabi, Phuket, Phangga, Ranong, Satul dan Trang.
Sementara itu di dalam negara, nasihat amaran tsunami yang dikeluarkan bagi negeri Perlis, Kedah termasuk Langkawi, Pulau Pinang dan Perak telah ditarik balik pada pukul 10 malam ini, kata Jabatan Mateorologi Malaysia.
Jabatan itu dalam kenyataan berkata nasihat itu dikeluarkan pada pukul 6.55 malam berikutan kejadian gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter melanda wilayah Aceh, Indonesia.
Ancaman tsunami sudah berlalu, kata jabatan itu.
Terdahulu, beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia merasai gegaran pada pukul 4.50 petang tadi berikutan kejadian gempa bumi itu.
Jabatan itu juga mengeluarkan amaran kepada penduduk di negeri berkenaan supaya menjauhi dari kawasan pantai ekoran kemungkinan gempa bumi itu berpotensi mengakibatkan tsunami.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan