Ketua pergerakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Anthony Loke yakin dengan peluang Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya sekiranya ketiga-tiga parti anggotanya berjaya memenangi antara 10 hingga 20 kerusi tambahan di Sabah dan Sarawak.
Bercakap di satu majlis makan malam amal DAP di Kepong malam tadi, Loke berkata Pakatan memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi tambahan kepada 82 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya sebelum ini, untuk membentuk kerajaan pusat.
Untuk itu, Pakatan perlu memenangi antara 10 hingga 20 kerusi kerusi lagi di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, katanya.
"Tapi apa yang lebih penting ialah Sabah dan Sarawak. Kita mesti mampu mendapatkan 10 hingga 20 kerusi di dua negeri ini," katanya ketika berucap kepada kira-kira 1,500 orang hadirin di majlis makan malam tersebut.
Pakatan perlu meraih sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah daripada 222 kerusi parlimen.
Ahli parlimen Rasah itu juga menyeru warga Kepong, terutamanya golongan peniaga untuk menyebarkan mesej berkenaan kepada rakan masing-masing dalam usaha mereka untuk menumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan