Rabu, 11 April 2012

Susulan pertemuan PM, MTUC tangguh protes

G MANIMARAN

mtuc logo

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memutuskan untuk menangguhkan Himpunan Pekerja, yang dijadual untuk diadakan di pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya pada 13 April ini, susulan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak MTUC, Awang Ibrahim berkata, pihaknya mengambil keputusan itu untuk memberi peluang kepada Perdana Menteri menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan

"Kami tidak membatalkan, tetapi memutuskan untuk menangguhkan tindakan mengadakan perhimpunan minggu ini memandangkan Perdana Menteri mengambil inisiatif untuk mendengar isu-isu yang dibangkitkan oleh MTUC dan kami mahu memberi peluang kepada beliau untuk menyelesaikannya," kata beliau yang Setiausaha Kewangan MTUC kepada Sinar Harian Online.

Bulan lalu, Awang memberitahu Sinar Harian Online bahawa pihaknya mahu campur tangan Najib dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan pekerja termasuk menarik balik Akta Kerja yang dipinda akhir tahun lalu.

Sebelum ini, badan induk kesatuan sekerja itu bercadang mengadakan Himpunan Pekerja, yang bertujuan memperlihatkan tanda protes, di hadapan Kementerian Sumber Manusia dan ia dipindahkan ekoran usul undi tidak percaya diputuskan ke atas Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Awang berkata, keputusan jawatankuasa itu selari dengan pendirian badan induk kesatuan sekerja itu yang diputuskan awal tahun ini.

Pada Februari lalu, Presiden MTUC Khalid Atan memberitahu Sinar Harian bahawa pihaknya mengambil pendirian hilang kepercayaan ke atas kepimpinan Dr Subramaniam sebagai Menteri Sumber Manusia berikutan sikap beliau yang didakwa tidak menunjukkan keseriusan dalam menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan pekerja-pekerja negara ini.

Ekoran perkembangan itu, Najib telah mengadakan pertemuan dengan rombongan MTUC di pejabatnya di bangunan Parlimen minggu lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin MTUC di bangunan Parlimen petang semalam, antara lain menyentuh isu pindaan Akta Kerja yang muncul kontroversi sejak tahun lalu.

Sebelum ini, MTUC membantah pindaan Akta Kerja dan menggesa kerajaan membatalkan undang-undang itu atas alasan akan menghakis kebajikan dan kepentingan pekerja negara ini dalam jangka panjang.

Difahamkan, Perdana Menteri telah memaklumkan MTUC perlu memahami keperluan tenaga kerja negara dan telah "meminta MTUC tidak terlalu ‘rigid’ terhadap pelaksanaan pekerjaan kontrak."

Mengulas lanjut, Awang berkata, MTUC memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan Jumaat ini pada satu mesyuarat yang diadakan pagi ini.

"Jawatankuasa tindakan akan bermesyuarat semula pada 10 Mei untuk memutuskan tindakan susulan, jadi kita tangguh dulu perhimpunan ini," katanya lagi.

Tiada ulasan: