Khamis, 19 April 2012

PTPTN: PKR kecam samseng serang aktivis

Wartawan Sinar Harian

PTPTN
SHAH ALAM - PKR Wilayah Persekutuan mengecam tindakan ganas samseng jalanan terhadap aktivis-aktivis mahasiswa, yang menyertai kempen menuntut agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Dr Idris Ahmad berkata, tindakan tidak bertanggungjawab ini menimbulkan keresahan bukan sahaja kepada mereka yang menyertai ‘Occupy Dataran’, tetapi juga penduduk Kuala Lumpur yang cintakan demokrasi dan keamanan.

“Kami menggesa pihak polis melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian ini dan menangkap mereka yang telah mengatur serta bertindak ganas dalam kejadian ini, seterusnya membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

“Kami juga berharap pihak polis akan berusaha dengan kerjasama semua pihak untuk memastikan yang kejadian sebegini tidak berulang,” kata beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi itu, 40 orang aktivis terbabit didakwa diserang 60 gengster ketika sedang berkhemah sempena kempen menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang ketika dihubungi awal pagitadi mengesahkan mereka diserang dan beberapa aktivis dimasukkan ke hospital.

"Ya, kami semua, tidak tahu siapa (mereka) dan mereka merobohkan semua khemah kami. Kami disepak, diterajang, ditumbuk dan dihalau dari Dataran. Tapi kami masih tetap di sini. Seorang sedang dapat rawatan kecederaan telah dihantar ke Hospital KL.

"Yang cedera ringan dalam lima orang sebab dipukul. Seorang dibawa ke hospital," katanya lagi.
Dr Idris mendakwa, wang kutipan derma peserta Occupy Dataran telah diambil oleh samseng-samseng ini dan turut mengakibatkan kerosakan kepada harta persendirian seperti kamera serta alat-alat elektronik lain.

Tambah Dr Idris, biarpun berbeza pendapat, tetapi jangan sesekali menggunakan kekerasan dan taktik samseng untuk menentang pendapat pihak yang lain.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Cabang PKR Segambut menyeru agar semua rakyat Malaysia khususnya penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menolak Politik Samseng.

Tiada ulasan: