Isnin, 2 April 2012

PRU13: Mubarak mungkin kemuka calon wakili BN

MALAYSIA KINI

Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) tidak menolak kemungkinan menghantar senarai calon mereka untuk dipertimbangkan mewakili BN dalam pilihan raya umum ke-13.

Presidennya Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan tiada had umur bagi calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya itu.

"Memang ada di negeri tertentu di mana anggota Mubarak yang aktif memainkan peranannya dan mereka ini boleh dipertimbangkan (sebagai calon)," katanya kepada pemberita di George Town semalam.

Katanya Mubarak akan membuat saranan itu kepada pucuk pimpinan tertinggi BN.

Beliau sebelum itu hadir pada mesyuarat agung tahunan Mubarak Pulau Pinang yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Sementara itu, Koh dalam sidang media berkata Mubarak mampu memainkan peranan membantu BN memilih calon yang tepat dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mereka boleh memberi maklum balas dan membantu kita membuat penilaian terhadap calon berpotensi, termasuk mereka yang sedang berkhidmat sekarang," katanya.

Di majlis itu Koh turut melancarkan Koperasi Mubarak Pulau Pinang yang berperanan menjaga kebajikan anggota Mubarak dan rakyat.

Selain Pulau Pinang, Koperasi Mubarak telah ditubuhkan di Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.- Bernama

Tiada ulasan: