Ahad, 22 April 2012

Occupy Dataran pasang khemah semula tengah malam ini

WAN NASRAH ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - Occupy Dataran akan mendirikan semula khemah selepas berakhirnya Konsert Diraja, yang sedang berlangsung di Dataran Merdeka sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong, dipercayai tengah malam ini.

Wakil aktivis Occupy Dataran, Misslina Mustafa berkata, beliau bersama kumpulannya juga akan terus memberikan sokongan kepada mahasiswa menyatakan sokongan kepada tuntutan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Kami mendirikan khemah semula sebagai sokongan kepada mahasiswa yang memperjuangkan hak dan menjadikan Dataran Merdeka sebagai tempat untuk menyuarakan pendapat.

"Walaupun mahasiswa tidak mahu berkumpul selama dua hari bagi menghormati Konsert Diraja, namun Occupy Dataran setia berada di situ dan akan memasang khemah mereka selepas tamatnya acara itu," katanya.

Occupy Dataran dan kumpulan mahasiswa berkhemah di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu sebagai protes dan meminta kerajaan menghapuskan PTPTN.

Kumpulan berkenaan menolak campur tangan sebarang parti politik mencampuri urusan mereka.
Bagaimanapun, perkhemahan ini menerima kunjungan pembangkang kerana dikatakan menyokong idealogi yang dibawa mereka.

Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalih dan menyimpan khemah pelajar dan aktivis Occupy Dataran menghormati Konsert Diraja sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Lee Slim Shady dari Occupy Dataran berkata, ketiga khemah itu diangkut sementara dan akan diserahkan semula kepada mereka selepas konsert.

“Kami hanya boleh meletakkan tabung sokongan kepada Occupy Dataran,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, DBKL akan menjaga segala barangan yang diletakkan dalam trak berhampiran Dataran Merdeka.

Tiada ulasan: