Selasa, 24 April 2012

MBJB tolak Bersih 3.0

Wartawan Sinar Harian


JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menolak permohonan kebenaran menggunakan Dataran Bandaraya Johor Bahru sebagai lokasi penganjuran Bersih 3.0 Johor Bahru, yang dijangka 28 April ini.
 
Datuk Bandar, Burhan Amin berkata, pihaknya menerima surat permohonan itu Jumaat lalu dan telah menolak permohonan itu, semalam.
 
“Sebab kita menolak membabitkan banyak faktor, kawasan itu milik kita, kita tidak bersetuju kerana ia bukan dataran besar, hanya bersaiz padang.
 
“Ia juga menempatkan bangunan pejabat MBJB cawangan, sebab itu kita tidak benarkan, melainkan mereka mahu buat dalam stadium dan sebagainya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB , semalam.
 
Burhan berkata, setakat ini hanya satu permohonan diterima dan katanya proses rayuan tertakluk kepada keadaan.
 
“Untuk bangunan lain kita tidak terima permohonan dan kita tidak tahu mereka hendak merayu atau tidak,” katanya.
 
Sinar Harian difahamkan, perhimpunan `duduk bantah’ Bersih 3.0 di Dataran Bandaraya Johor Bahru rentetan perhimpunan sama yang diadakan di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: