Oleh Tinta Kurnia
Jika dahulu, ibu bapa pasti akan berbangga andai anak mereka berjaya menjejak kaki ke menara gading.
Tidak cukup ucapan kesyukuran yang dipanjatkan dengan kejayaan sang anak, malah lembu dan kerbau pasti akan ditumbangkan demi untuk kegembiraan itu dikongsi seisi kampung. Mana yang tidak berduit sanggup bergolok bergadai mencagar tanah, melurut emas di lengan, atau menjual ternakan bagi membiayai pengajian si anak.
Berbeza pula dengan zaman yang semakin mencabar dewasa ini. Pelajar genius kian bertambah, yang bijak-bijak sudah bersepah-sepah. Dek kerana itu, adalah tidak hairan buat ibu bapa jika anak mereka terpilih melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading meski pun itulah yang amat diharapkan.
Ironinya, ada pula ibu bapa yang pesimis dengan membuat perkiraan, nanti bila sudah keluar universiti sekali pun gajinya kecil juga. Malah mungkin lebih kecil berbanding ibu bapa yang tinggal di kampung mengusahakan kelapa sawit mahupun getah. Lebih lumayan pendapatannya berbanding si anak berkelulusan universiti dengan memegang jawatan cabuk di mana-mana sektor pekerjaan.
Namun apakan daya, daripada tak bekerja langsung, pekerjaan yang bergaji tak berbaloi pun tetap disambar juga. Ibu bapa semakin bimbang, dengan iklim sektor pekerjaan yang kelihatan sangat menguncup, peluang pekerjaan untuk anak-anak mereka kian terbatas. Akhirnya, bagai pepatah menyebut, ‘buek ngabihkan bogheh yo belaja tinggi-tinggi’.
Mahasiswa tanpa peluang kerja
Kita ingin bicarakan tentang dilema yang dihadapi oleh para pelajar khususnya mahasiswa yang semakin tertekan di bawah pentadbiran penguasa yang pincang dan tidak boleh diharapkan lagi untuk membantu.
Silalah saksikan sendiri, betapa statistik pengagguran mahasiswa yang begitu menggerunkan hati. Lebih menyedihkan lagi peluang-peluang ini semakin tertutup dengan tindakan kerajaan menambahkan lagi umur maksimum untuk berpencen.
Peluang baru pula tidak berkembang secara rancak. Nampak sangatlah ekonomi yang dikatakan berkembang dan menepati sasaran oleh kerajaan sekadar ‘menanam tebu di bibir’ semata-mata.
Dalam pada risiko berhutang yang perlu ditanggung, dengan peluang pekerjaan yang tipis, keperitan ini perlu juga dihadapi oleh siswazah yang masih menjenguk-jenguk mengintai ruang.
Bayangkan, ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut, menjamu tekak dengan sekadar menjamah mee segera, atau terpaksa berhempas pulas memperuntukkan masa bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan untuk terus hidup di kampus sedangkan dalam masa yang sama anak-anak pak menteri dan pemimpin yang sedang bertakhta di tampuk kuasa dengan megah mempamerkan kekayaan yang maha luar biasa.
Kehebatan anak-anak menteri
Lihat saja contoh yang dipamerkan oleh pendapatan anak-anak Datuk Seri Shahrizat Jalil yang kemampuan kredebilitinya dalam ‘perusahaan’ lembu yang gagal itu dapat meraih pendapatan yang berpuluh kali ganda gaji mahasiswa mahir yang gajinya sekadar cukup-cukup mengubat pening.
Apa wajarkah anak Shahrizat yang gagal dalam menternak lembu itu akan diambil kerja di syarikat lain jika syarikat itu bukan bapanya yang punya?
Anak Datuk Seri Nazri Aziz pun apa kurangnya. Dengan berlagak sombong mempamer mewah dan harta macam usahawan tersohor di usia yang begitu muda. Bergaya ala mafia, pengiring keselamatan di kanan kiri, serta ada kereta Porsche pula buat penambah mala petaka.
Cuba bayangkan, entah dari mana duit dan harta yang diperolehinya itu. Mungkin juga harta yang berjaya diperah dari keringat ibu dan bapa sang mahasiswa yang terpaksa bergelut membayar segala cukai dan harga barangan yang semakin melambung-lambung tak terbendung.
Sedang dalam kesempitan yang begitu menjerut kehidupan, boleh pula Sang Menteri berkokok menasihatkan rakyat jelata agar berjimat cermat serta berbelanja secara berhemah.
Tambahan pula ada bantuan BR1M yang baru dihulur. “Bantuan itu perlu diguna secara bijak, jangan membeli-belah tak tentu hala, atau membeli cincin bertatahkan permata”, ujar mereka.
Bukankah nasihat begitu macam menyindir orang miskin saja layaknya. Dengan bantuan yang tak seberapa, diberi pula mungkin sekali seumur hidup cuma; para pemimpin ini mahu pula mengajar para rakyat jelata yang benar-benar terhimpit hidupnya dengan perkataan mulia seperti usah membazir dan berjimat.
Mahu saja dilantunkan soalan kepada Pak Menteri yang bebal ini, takkanlah orang yang miskin itu bodoh sangat, sanggup membeli hiasan diri daripada membeli barang dapur; kerana perut perlu diisi setiap hari.
Mahasiswa perlu bangkit
Mahasiswa perlu bangkit atas kesedaran ini. Apa perlu disyukur jika pemimpin terus hidup dengan gelumang kufur. Untuk apa lagi dipertahankan sekerat dua orang yang menumpukkan harta benda mereka hanya untuk anak isteri suami dan kroni semata-mata tanpa memikirkan kesusahan ibu bapa kita yang siang malam bersengkang mata demi untuk memanjangkan cita-cita murni.
Mereka itu sang bangsawan yang langsung tak pernah kenal erti susah. Apa nak susah, keringat dan kudrat rakyat senantiasa diratah.
Mahasiswa yang datang dari seluruh pelusuk negara, dari kampung dan desa dan dari mana-mana rimba pun harus ada kepekaan ini. Pulang ke tempat asal nanti, sedarkanlah ibu dan bapa kita, malah kepada seluruh jelata di desa, agar mereka semuanya membuka mata.
Kerajaan yang rakus perlu disungkurkan serta merta. Kebejatan, kesombongan, serta kehipokritan ini hanya dapat dibasmi oleh tangan-tangan anda sendiri. Cukup-cukuplah setakat ini kita semua diperdayakan.
Sampai bila mata ini ingin melihat leher terus dijerut, sambil mulut diikat agar tidak mampu bersuara.
Maka, sampaikanlah maklumat berfakta kepada ayah dan ibu, kepada tetangga, dan setiap warga yang ada di sekitar dengan berpaksikan ilmu.
Jika semua bertindak seiring bersama, sudah pasti kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang semakin mereput ini pasti akan rebah menyembah bumi tanpa ada sesiapa lagi yang mahu menongkat kesombongan dan keangkuhannya selama ini. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan