KUALA LUMPUR- Parti Liberal Demokratik (LDP) sudah menyerahkan senarai nama calon bagi pilihan raya umum ke-13 akan datang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), kata Presiden Datuk V.K Liew.
"Kami sudah menyerahkan senarai calon. Sebenarnya kami telah menyediakan senarai nama itu sejak tahun lepas," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata mereka yang dicadangkan sebagai calon bukan hanya dianggap 'boleh menang' tetapi merupakan calon yang 'sanggup dan berupaya' kerana LDP juga mahu menyediakan barisan pemimpin pelapis bagi menghadapi landskap politik yang sentiasa berubah.
"Kami tidak menyediakan senarai calon hanya sekadar untuk meletakkan calon bertanding pilihan raya. Para calon adalah golongan profesional dan mereka yang berkelayakan bukan sahaja muka baru, muda dan ingin berkhidmat tetapi juga pemimpin masa depan yang sanggup dan berupaya," katanya.
Liew berkata senarai itu telah disediakan dengan pertimbangan permohonan LDP untuk bertanding di enam kawasan yang ada selepas Parti Progresif Parti (SAPP) keluar daripada BN pada 17 Sept, 2008.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan