Kenaikan terbaru harga gula dan bahan api tidak akan terlalu membebankan rakyat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.
Menurutnya, kenaikan harga gula tidak memberi impak yang besar kepada pengguna kerana setiap isirumah hanya menggunakan purata 5kg sebulan.
Bercakap ketika sesi soal-jawab di Dewan Rakyat, beliau kenaikan (20 sen) harga gula sekilogram hanya membabitkan tambahan RM1 sebulan kepada mereka.
Ketika menjawab soalan Che Uda Che Nik (PAS-Sik), timbalan menteri menjelaskan bahawa kenaikan harga bahan api juga merupakan peningkatan kecil kepada purata pengguna jalan raya. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Tan berkata kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif yang mampu membantu meringankan beban rakyat dalam menangani masalah
peningkatan kos sara hidup.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat ini termasuk memberi subsidi dan mengawal harga serta memastikan bekalan barang kawalan termasuk barangan keperluan.
"Barangan keperluan seperti gula, tepung gandum, minyak masak, beras dan juga bahan api tetap dikawal menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya ketika menjawab soalan Che Uda yang ingin tahu kesan dan langkah kerajaan mengatasi masalah kadar kenaikan harga barang utama terhadap penduduk miskin bandar dan luar bandar.
Menurutnya, kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia merupakan inisiatif yang diharapkan dapat mengawal kenaikan harga barang runcit agar pengguna yang berpendapatan rendah masih mampu membeli berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan mereka.
Kementerian juga akan meneruskan projek pengedaran barang keperluan agar penduduk pedalaman dapat menikmati harga barang kawalan pada harga berpatutan.
"Barangan seperti gula, tepung gandum, minyak masak, dan bahan api akan terus diedarkan di kawasan pedalaman di seluruh negara terutama Sabah dan Sarawak.
"Selain itu, kementerian menjalankan kempen kuasa pengguna yang mendidik mereka untuk mempraktik kuasa dalam membuat pilihan barangan," katanya.
Tan berkata pengawalan harga barang semasa musim perayaan juga dipertingkatkan supaya harga barang kawalan utama seperti daging, ayam, telur, bawang dan sayur-sayuran mencukupi dan ditawarkan pada harga ditetapkan.
"Kami juga mengadakan sesi dialog dan perbincangan secara berkala dengan industri berkaitan bagi menerangkan isu kenaikan harga dan meminta supaya industri tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan," katanya.
Kementerian turut mengarahkan 1,900 pegawai penguatkuasa untuk menjalankan pemantauan sepanjang masa dan seramai 1,300 pegawai ditugaskan untuk memantau harga di seluruh negara.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan