KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan telah membentuk satu jawatankuasa berhubung pemberian tanah kepada bekas anggota tentera yang dilahirkan di Kelantan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar, Datuk Md Anizam Abd Rahman.
Beliau berkata, jawatankuasa itu yang diketuainya dan dibantu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Datuk Abdul Fatah Mahmood akan mengenal pasti kriteria tertentu sebelum melaksanakan pemberian tanah
tersebut.
"Jawatankuasa ini juga akan mengenal pasti jumlah sebenar bekas tentera yang akan dianugerahkan tanah tersebut berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan... mengenal pasti tempat atau kawasan tanah yang akan dianugerahkan," katanya pada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata pemberian sekurang-kurangnya 0.809 hektar tanah kepada bekas tentera itu dibuat selaras dengan perintah Majlis Angkatan Tentera bahawa bekas anggota tentera layak diberi tanah. Md Anizam berkata, langkah pemberian tanah tersebut juga diambil selepas menerima banyak permohonan daripada persatuan bekas tentera dan ia tiada kaitan dengan pilihan raya umum akan datang.
"Kita faham bahawa bekas tentera, ada yang berhenti daripada perkhidmatan, tidak berpencen dan sebagainya, mereka membuat permohonan berikutan tidak mempunyai tanah untuk berladang ataupun tapak rumah," katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri akan memberi sumbangan kepada pelajar Kelantan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Kita akan beri RM500 kepada pelajar SPM yang meperoleh 9A ke atas, STAM yang mendapat pangkat Mumtaz dan STPM yang dapat 4 Prinsipal ke atas. Calon yang layak ialah yang menduduki peperiksaan di Kelantan, sama ada dia anak Kelantan atau bukan Kelantan, dan juga anak Kelantan yang meduduki peperiksaan di luar Kelantan," katanya.
Mohd Amar berkata, pelajar yang layak boleh memohon melalui borang yang dikeluarkan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) atau menerusi laman sesawang YIK.
Katanya, tarikh akhir permohonan dan penyampaian sumbangan berkenaan belum diputuskan oleh kerajaan negeri. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan